Pengarah Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Andrew Chan berkata belanjawan itu, dengan tumpuan lebih tinggi terhadap pembangunan bakat dalam sektor elektrik dan elektronik (EE), mengukuhkan lagi peranan negara dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
"Usaha ini untuk meningkatkan daya saing negara dalam sektor semikonduktor dan langkah-langkah yang digariskan dalam belanjawan itu menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan jangka panjang dan daya tahan industri," katanya kepada Bernama.
Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, pada Jumaat, memperuntukkan RM421 bilion, terdiri daripada perbelanjaan mengurus sebanyak RM335 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM86 bilion.
Belanjawan itu turut memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu termasuk dana pelaburan strategik bernilai RM1 bilion sebagai usaha meningkatkan kapasiti bakat tempatan dan menggalakkan aktiviti bernilai tinggi dilaksanakan di negara ini.
Kerangka itu yang menumpukan aktiviti bernilai tinggi berbanding insentif sedia ada yang berasaskan produk tertentu, dijangka dilaksanakan pada suku ketiga 2025.
Dalam usaha mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah, insentif cukai pendapatan pada kadar istimewa ditawarkan bagi pelaburan dalam 21 sektor ekonomi di negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada keberhasilan limpahan ekonomi.
Mengenai pelan kerajaan untuk melaksanakan mekanisme levi pelbagai peringkat (MTLM) pada awal tahun depan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, Chan melihatnya sebagai langkah proaktif oleh kerajaan.
Beliau berpendapat hasil levi tersebut akan dilaburkan semula dalam industri bagi tujuan automasi dan mekanisasi, selaras dengan galakan kepada transformasi digital dan meningkatkan kecekapan.
"Kami berharap untuk mendengar butiran lanjut mengenai MTLM," katanya.
-- BERNAMA