Apakah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes tidak diberikan taklimat oleh pegawai-pegawai kanannya berhubung bantuan yang diberikan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat penerbangan itu di KLIA2 sehingga beliau menggelarkan MAHB sebagai pembuli?

Ini adalah persoalan yang ditimbulkan oleh MAHB yang berkata ia tidak bersetuju dengan gelaran ‘pembuli’ yang dilemparkan terhadapnya oleh AirAsia kerana ia sentiasa menyokong dan berkhidmat untuk semua rakan-rakan kongsinya secara profesional.

“Malah, MAHB telah berusaha secara konsisten untuk menolong dan menyokong AirAsia, terutamanya apabila AirAsia berpindah ke KLIA2 untuk memastikan migrasi mereka telah berjalan dengan lancar dan berjaya,” kata MAHB di dalam satu kenyataan.

MAHB berkata demikian untuk menjawab kenyataan Fernandes yang berkata MAHB membuli AirAsia, AirAsia tidak dapat menggunakan mesin daftar mereka dan tidak boleh menaikkan jenama mereka di KLIA2.

MAHB menerangkan antara bantuan yang dihulurkan kepada AirAsia ialah pasukan operasi penerbangan lapangan terbang telah memberi nasihat dan panduan mengenai sistem peruntukan pintu pelepasan kepada syarikat penerbangan itu yang menyaksikan pengurangan pertukaran pintu berlepas kepada 10 sehari berbanding 200 pertukaran pada hari pertama ia beroperasi di terminal baharu berkenaan.

“Contoh lain di mana MAHB memberi sokongan kepada AirAsia ialah apabila kami meminjamkan kakitangan dan sumber daripada pihak ketiga untuk membantu AirAsia yang kekurangan tenaga kerja dan peralatan bagi mengendalikan ketibaan penghantaran bagasi pada beberapa hari pertama di KLIA2.

"Dengan bantuan ini, AirAsia dapat menguruskan penghantaran bagasi dengan konsisten pada tempoh yang munasabah kepada penumpangnya.

“Kemungkinan Fernandes tidak diberikan taklimat oleh pegawai-pegawai kanannya berhubung sokongan yang telah MAHB berikan kepada pasukannya, sehingga beliau memanggil MAHB sebagai ‘pembuli’,” kata MAHB.

Semasa mengulas itu jenama AirAsia yang didakwa tidak boleh dipamerkan di KLIA2, MAHB berkata pihaknya telah menyediakan peluang yang mencukupi untuk syarikat penerbangan itu termasuk membenarkan penempatan bunting di kaunter daftar masuk, paparan jenama di atas meja dan logo korporat pada skrin di kaunter daftar masuk.

MAHB turut berkata ia berharap AirAsia akan menunjukkan contoh yang betul untuk mencapai objektif membina perkongsian mampan saling menghormati yang ingin dicapai oleh MAHB dengan pihak operasi AirAsia.

Sebelum ini, Fernandes telah meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan pengendalian MAHB di KLIA2 di laman Twitternya.