KUALA LUMPUR: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digalakkan bergaul dengan individu-individu yang mempunyai minat yang sama agar dapat belajar antara satu sama lain.

Mahasiswa Newcastle University United Kingdom, Jonathan Lee mencadangkan agar pelajar-pelajar ini menyertai aktiviti kesukarelawanan dalam tempoh cuti ketika ini.

“Pastikan anda sentiasa bergaul dengan orang yang mempunyai minat yang sama dengan anda supaya dapat belajar daripada satu sama lain. Selain itu, gunakan tempoh selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini untuk sertai aktiviti atau pertubuhan kesukarelawanan.

"Anda juga boleh memohon untuk bekerja dengan organisasi tersebut. Mungkin anda menjumpai minat yang sebenar melalui aktiviti tersebut,” katanya dalam program Dialog Anak Muda terbitan Astro AWANI.

Dalam pada itu Jonathan berpendapat, apapun pilihan lepasan SPM dalam memilih jalur pendidikan peringkat tinggi mereka, pelajar-pelajar ini perlu faham bahawa mereka mempunyai bahagian sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Apapun pilihan anda, pastikan ada sumbangan kepada ekonomi negara dan masyarakat. Kita bicarakan tentang pendidikan aliran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.

“Tetapi apapun pilihan anda ia akan menyumbangkan kepada keseimbangan dalam pasaran buruh. Semua komponen dan pelbagai bidang pengajian memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia.

“Contohnya bidang STEM memang lumayan dari segi pendapatan, tetapi bagi perniagaan kecil boleh tumpu kepada kaedah untuk mengembangkan perniagaan tersebut. Saya fikir ini perkara-perkara yang perlu ditimbangkan dalam memilih kursus di peringkat pengajian tinggi,” katanya lagi.