KUALA LUMPUR: Jaminan penempatan di pusat matrikulasi kepada semua pelajar cemerlang tanpa mengira latar bumiputera atau sebaliknya, akan mengatasi isu penghijrahan bakat atau brain drain.


Ringkasan AI
  • Jaminan Penempatan Pelajar Cemerlang: Keputusan untuk memberi jaminan penempatan di pusat matrikulasi kepada semua pelajar cemerlang tanpa mengira latar belakang (bumiputera atau bukan) bertujuan mengatasi isu penghijrahan bakat.
  • Peluang melanjutkan pengajian di institut pengajian awam merupakan ganjaran bagi usaha pelajar meraih kecemerlangan. Ini khususnya penting bagi pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.
  • Langkah kerajaan ini tidak akan menjejaskan kuota penempatan pelajar bumiputera. Sebaliknya, kerajaan perlu menambah penempatan di pusat matrikulasi untuk menampung peningkatan kemasukan pelajar.


Ketua Program Interim, Teach For Malaysia, Sawittri Charun berkata peluang melanjutkan pengajian di institut pengajian awam ini merupakan ganjaran kepada usaha mereka meraih kecemerlangan dalam pengajian, terutamanya bagi pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.

"Kita tidak mahu penghijrahan bakat berlaku. Penghijrahan bakat ini tidak hanya berlaku selepas bakat-bakat ini masuk ke alam pekerjaan. Ia sebenarnya bermula lebih awal. Ramai pelajar-pelajar cemerlang di negara kita; bumiputera dan bukan bumiputera, mendapat tawaran belajar di luar negara. 

“Jika mereka tidak mendapat tempat di pusat matrikulasi atau peluang untuk sambung pengajian dalam bidang yang mereka inginkan di universiti tempatan, ada kemungkinan besar kita kehilangan pelajar cemerlang kita ini. 

“Ramai pelajar cemerlang yang menerima tawaran biasiswa untuk belajar di luar negeri atau keluar dengan biaya sendiri tertarik untuk belajar di luar negeri. Kita mengalami masalah penghijrahan bakat yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Jaminan penempatan matrikulasi atasi isu penghijrahan bakat – Teach For Malaysia

Tambah Sawittri, pihaknya percaya langkah kerajaan ini tidak akan menjejaskan kuota penempatan untuk pelajar-pelajar bumiputera. Bahkan, katanya, kerajaan perlu menambah penempatan di pusat matrikulasi untuk menampung sebarang peningkatan kemasukan pelajar.

Pada 30 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memberi jaminan semua pelajar cemerlang yang berjaya mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam SPM dan memohon untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.