KUALA LUMPUR: Naib Canselor Kolej Universiti Inovatif, Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata kerajaan perlu menyelesaikan rungutan pelajar cemerlang khususnya dalam kalangan bukan bumiputera yang dinafikan penempatan di pusat matrikulasi.


Ringkasan AI
  • Kerajaan perlu menyelesaikan rungutan pelajar cemerlang, terutamanya bukan bumiputera, yang tidak diberikan penempatan di pusat matrikulasi.
  • Masalah perlu diatasi tanpa mengganggu kuota penempatan pelajar bumiputera.
  • Sistem ini harus memberi ruang dan tempat kepada mereka yang berusaha gigih.


Jelas Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi 2020/2021, hal tersebut perlu diatas tanpa menjejaskan kuota penempatan kepada pelajar bumiputera. 

“Sudah bertahun-tahun berlaku keadaan dan rungutan oleh pelajar-pelajar cemerlang khususnya dalam kalangan bukan bumiputera yang mendapat keputusan cemerlang tetapi tidak mendapat tempat (di pusat matrikulasi). 

“Ini perkara yang perlu diatasi oleh sistem kemasukan universiti dalam negara kita. Sistem ini tidak boleh gagal untuk memberi ruang dan tempat kepada pelajar-pelajar cemerlang. Ini kerana, mereka merupakan pelajar-pelajar yang telah berusaha gigih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Penempatan matrikulasi cukup, selesaikan isu pelajar cemerlang dinafikan tempat – Bekas KP Pendidikan

Pada masa yang sama Mohamed Mustafa menegaskan, tidak ada sebarang isu mengenai pengumuman Perdana Menteri untuk memberi jaminan penempatan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajar Malaysia (SPM), memandangkan syarat minimum layak masuk matrikulasi adalah agak tinggi.

Beliau juga mahu kerajaan pastikan kemasukan pelajar bukan bumiputera ke pusat matrikulasi tidak boleh menjejaskan penempatan pelajar bumiputera yang cemerlang.

"Soalnya, jika berlaku isu kuota atau penempatan tidak cukup ini yang perlu diatasi KPM. Misalnya, memastikan semua pelajar cemerlang mendapat tempat tanpa mengganggu tempat untuk pelajar bumiputera yang cemerlang,” ujarnya lagi.

Pada 30 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memberi jaminan semua pelajar cemerlang yang berjaya mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam SPM dan memohon untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.