PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyaring jumlah pelajar cemerlang 10A yang telah membuat permohonan ke program matrikulasi atau program di universiti.


Ringkasan AI
  • Peluang untuk Pelajar Cemerlang SPM: KPM akan bekerjasama dengan KPT untuk menyaring pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam SPM.Langkah ini membolehkan pelajar yang tidak ditawarkan tempat untuk diselaras semula tawaran berdasarkan pilihan program mereka. Keputusan ini juga menyahut saranan Perdana Menteri agar pelajar cemerlang dapat melanjutkan pengajian tanpa mengira kaum atau latar belakang.
  • Tawaran Tempat dan Jurusan: Tawaran tempat dan jurusan bergantung kepada kelayakan calon dan kekosongan Program Matrikulasi KPM. KPT akan memberi fokus kepada kemasukan program-program asasi dan diploma di Universiti Awam.
  • Komitmen Kerajaan: Kerajaan komited memastikan akses pendidikan dapat dipertingkatkan demi manfaat semua pelajar. Sistem kuota bumiputera bagi Program Matrikulasi KPM kekal dan tidak terjejas.


Langkah itu dibuat bagi membolehkan mereka yang tidak ditawarkan tempat dapat diselaras semula tawaran berdasarkan kepada pilihan program pelajar.

Keputusan itu juga adalah bagi menyahut saranan Perdana Menteri untuk memberi tempat kepada pelajar cemerlang SPM yang memohon untuk melanjutkan pengajian tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Menerusi kenyataan pada Isnin, KPM berkata tawaran tempat dan jurusan adalah bergantung kepada kelayakan calon dan kekosongan Program Matrikulasi KPM.

Manakala KPT akan memberi fokus kepada kemasukan program-program asasi dan diploma di Universiti Awam.

“Ketetapan ini dibuat bagi memastikan pelajar cemerlang SPM dan daripada keluarga B40 mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian.

“Pada masa yang sama sistem kuota bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi KPM kekal dan tidak terjejas,” menurut kenyataan tersebut.

“Kerajaan MADANI komited memastikan akses pendidikan dapat dipertingkatkan demi manfaat semua pelajar yang merupakan aset masa hadapan negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Astro AWANI pada Ahad melaporkan kerajaan memberi jaminan semua pelajar cemerlang dengan keputusan 10A dan ke atas dalam SPM dan memohon untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KPM dan KPT akan bekerjasama memperincikan kaedah dan pelaksanaan perkara itu dalam waktu terdekat.

"Ketetapan ini dibuat bagi memastikan semua pelajar cemerlang SPM mendapat peluang terbaik untuk melanjutkan pengajian. Pada masa yang sama sistem kuota bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi KPM kekal dan tidak terjejas,” katanya.