Menurut kenyataan SPRM, pihaknya juga sudah menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bahawa tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak berhubung pelaksanaan kontrak projek 1BestariNet.
"Bagaimanapun, Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM mengambil langkah susulan dengan memberi tumpuan kepada siasatan dari aspek tadbir urus serta isu berkaitan tuntutan kewangan dalam kontrak di antara YTL Communications Sdn Bhd dan KPM.
"TPR telah mengarahkan SPRM untuk menyerahkan laporan penuh hasil siasatan kepada KPM. Selain itu, SPRM turut disaran mengeluarkan syor-syor penambahbaikan," katanya di sini pada Khamis.
Menurut kenyataan itu, antara langkah utama yang disyorkan ialah KPM kembali ke meja rundingan bersama YTL Communications untuk mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang isu berbangkit membabitkan kontrak tender perkhidmatan yang telah dipersetujui.
Pada 4 September lalu, SPRM dilapor menyerbu pejabat YTL Communications di Kuala Lumpur serta sebuah pejabat kerajaan sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap projek bernilai RM4 bilion itu.
Sumber SPRM dipetik berkata, siasatan tertumpu kepada dakwaan membabitkan butiran palsu berkaitan pembayaran RM2.7 bilion serta unsur jenayah lain di bawah Akta SPRM 2009.
Projek 1BestariNet yang dimulakan oleh KPM pada 2011, bertujuan menyediakan akses internet berkelajuan tinggi ke sekolah-sekolah serta memperkenalkan sistem pembelajaran maya.
Projek itu pada awalnya dirancang untuk tempoh 15 tahun dengan peruntukan sebanyak RM4.07 bilion, namun kemudian dipendekkan kepada tujuh tahun enam bulan. YTL Communications hanya menyelesaikan dua fasa pertama projek yang berakhir pada Jun 2019.
Pada Rabu, media melaporkan YTL Power International Bhd mengumumkan bahawa tiada pertuduhan akan dikenakan kepada anak syarikatnya YTL Communications Sdn Bhd berkaitan dengan projek 1BestariNet oleh SPRM.