SEREMBAN: Kementerian Pendidikan (KPM) mengenal pasti beberapa inisiatif bagi mengatasi isu kepadatan pelajar di sekolah, susulan peningkatan jumlah murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu terutamanya di Selangor dan Johor.


Ringkasan AI
  • Kementerian Pendidikan (KPM) mengenal pasti beberapa inisiatif untuk mengatasi isu kepadatan pelajar di sekolah, termasuk membina sekolah baharu, menggunakan kabin, dan menyuraikan pelajar ke sekolah berhampiran.
  • Dua sekolah baharu telah beroperasi di Selangor, dengan lebih banyak akan dibuka secara berperingkat tahun ini. KPM juga membina bangunan kabin yang hanya mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.
  • Penyuraian pelajar dari sekolah yang padat ke sekolah berhampiran dilakukan untuk menangani isu kepadatan, terutama di kawasan perumahan besar dan kawasan industri di Selangor dan Johor.


Ketua Pengarah KPM Azman Adnan berkata bagi menangani isu itu, kaedah yang diambil adalah dengan membina sekolah baharu, menggunakan kabin serta penyuraian pelajar ke sekolah berhampiran.

"Terdapat dua sekolah baharu telah beroperasi di Selangor manakala selebihanya akan beroperasi secara berperingkat tahun ini. KPM juga membina bangunan kabin di sekolah diperlukan, pembinaan kabin itu tidak mengambil masa lama, hanya tiga bulan.

"Langkah ketiga ialah penyuraian sekolah yang padat kepada sekolah berhampiran, dari semasa ke semasa kita akan tengok kepada keperluan untuk ditambah baik bagi memastikan isu sekolah padat ini dapat ditangani sebaiknya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Penyerahan Program 1 Juta Buku Tulis Kitar Semula di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Pagi, di sini hari ini.

Azman berkata sebagai contoh pembinaan bangunan kelas kabin di SK Cyberjaya di Selangor antara usaha yang berhasil bagi mengatasi isu kepadatan pelajar di sekolah berkenaan.

"Di Negeri Sembilan, tiada isu kepadatan, setakat ini melibatkan di Selangor dan Johor, kebiasaannya di taman perumahan yang besar dan kawasan industri," katanya.

Media semalam melaporkan sebanyak 17 buah sekolah baharu dijangka mula beroperasi pada tahun ini, lapan daripadanya merupakan sekolah rendah manakala sembilan lagi sekolah menengah.

-- BERNAMA