MELAKA: Kerajaan memperuntukkan RM9 juta bagi menghantar guru menjalani kursus kepimpinan dan kecerdasan buatan (AI) di luar negara pada tahun ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Ruji Ubi.

Beliau berkata ia merupakan projek perintis yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan tahun ini khusus untuk meningkatkan kemahiran guru dalam dua bidang berkenaan, bagi meningkatkan lagi tahap pendidikan negara ke satu peringkat lebih tinggi.

Ruji berkata guru-guru terpilih akan dihantar menjalani latihan di pelbagai negara termasuklah Singapura dan Amerika Syarikat, dengan setiap kursus dijangka mengambil masa antara sebulan ke tiga bulan.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sentiasa menyebut berulang kali mengenai kualiti akses pendidikan yang bukan sahaja merangkumi aspek infrastruktur dan kurikulum semata-mata, malah perlu meningkatkan juga kemahiran mereka dalam bidang kepimpinan.

"Langkah ini diambil untuk melahirkan masyarakat MADANI yang lebih kompeten, yang lebih ihsan dan lebih prihatin," katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan Kumpulan B di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Jalan Datuk Palembang Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Pendidikan Melaka Mahfudzah Mohamed Noor.

Ruji berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat bersama dengan Ketua Pengarah Pendidikan dalam masa terdekat bagi mengenalpasti guru-guru terlibat yang sedang berkhidmat di peringkat kementerian, Jabatan Pendidikan negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah untuk menyertai kursus-kursus berkaitan.

"Sebelum ini ada juga guru dihantar menjalani kursus namun hanya melibatkan aspek pengajaran dan pembelajaran (PDP) di dalam negara sahaja.

"(Kursus berkaitan) kepimpinan di sekolah sangat penting sebab itu yang akan menentukan halatuju sekolah, guru dan anak-anak kita (pada masa depan)," katanya.

-- BERNAMA