HULU SELANGOR: Secara rasminya dilancarkan pada 27 September 2024, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, seramai 83,752 pelajar dan 3,458 sekolah dijangka mendapat manfaat daripada Program Anak Kita.


Ringkasan AI
  • Manfaat Program Anak Kita: Dilancarkan pada 27 September 2024, program ini dijangka memberi manfaat kepada 83,752 pelajar dan 3,458 sekolah, dengan fokus kepada Reformasi Pendidikan untuk menangani masalah keciciran pembelajaran.
  • Tiga Aspek Utama Program: Program 3M: Melibatkan 53,252 murid pemulihan khas (Tahun 2 hingga 6) di 1,288 sekolah; Program SPM: Melibatkan 10,000 pelajar Tingkatan 5 (SPM 2024) di 1,500 sekolah menengah dan 20,000 pelajar Tingkatan 4 (SPM 2025) di 600 sekolah menengah; Program Murid Cicir: Melibatkan 500 pelajar cicir di 50 sekolah menengah dan 20 sekolah rendah di beberapa negeri.
  • Program ini termasuk intervensi di peringkat Kementerian Pendidikan untuk murid Tahun 1, dengan harapan pelajar yang tersenarai dalam data keciciran dapat dikeluarkan daripada kumpulan tersebut dalam tempoh sebulan dua bergantung kepada kejayaan program.


Menurutnya, program itu merupakan salah satu keutamaan kerajaan, dengan fokus kepada Reformasi Pendidikan, direka khusus untuk menangani masalah keciciran pembelajaran yang kian meruncing Malaysia.

“Kita ada satu lagi intervensi di peringkat KPM (Kementerian Pendidikan) yang telah dilaksanakan pada murid tahun 1 melibatkan 3M (membaca, menulis dan mengira).

“Mungkin ketika ini, anak-anak ini dimasukkan dalam data keciciran. Namun dalam tempoh sebulan dua lagi dia mungkin sudah terkeluar daripada kumpulan itu.

"Ini bergantung kepada hasil pelaksanaan program itu dan kejayaan intervensi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia di Sekolah Kebangsaan Rasa, Hulu Selangor, pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, program itu merangkumi tiga aspek iaitu Program 3M (Sekolah Rendah), Program Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (Sekolah Menengah) dan Program Murid Cicir (Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah).

Bagi Program 3M, ia melibatkan sejumlah 53,252 murid pemulihan khas (Tahun 2 hingga 6) di 1,288 sekolah.

Program SPM pula melibatkan 10,000 pelajar Tingkatan 5 (SPM 2024) di 1,500 sekolah menengah dan 20,000 pelajar Tingkatan 4 (SPM 2025) di 600 sekolah menengah.

Sementara Program Murid Cicir adalah melibatkan 500 pelajar cicir di 50 sekolah menengah 20 sekolah rendah di Selangor, Kedah, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak.