PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan untuk meningkatkan kelayakan masuk minimum ke dalam perkhidmatan awam kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara dapat menjadi pendorong kepada murid untuk menamatkan persekolahan sekurang-kurangnya sehingga peringkat SPM, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

"Keputusan ini selaras dengan usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM ) untuk memastikan murid menamatkan persekolahan peringkat menengah dan menangani keciciran murid," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menyentuh inisiatif untuk memperluaskan peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada calon dengan kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Fadhlina menyifatkan ia sebagai bukti komitmen kerajaan untuk menggalakkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata ia membuka laluan lebih luas kepada graduan Kolej Vokasional KPM untuk meneroka peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam.

Pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 yang berlangsung hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan perkara itu yang bertujuan mengoptimumkan sumber dan peningkatan produktiviti perkhidmatan awam.

Mengenai usaha kerajaan untuk memperkenalkan kerangka Iltizam Kecekapan Pentadbiran sebagai satu mekanisme pengukuran tahap penyampaian perkhidmatan kerajaan, beliau berkata ia dapat membantu meningkatkan produktiviti seluruh warga KPM.

"Agenda Reformasi Pendidikan yang sedang dilaksanakan KPM memerlukan komitmen jitu daripada seluruh warga pendidikan," kata Fadhlina.

Kerangka Iltizam Kecekapan Pentadbiran yang diumumkan Perdana Menteri membolehkan rakyat melihat sendiri pembuktian terhadap kejayaan kerajaan dalam melaksanakan reformasi pentadbiran secara menyeluruh, meliputi aspek pengoperasian, tahap akauntabiliti dan kecekapan penjawat awam.

Menzahirkan penghargaan terhadap keputusan kerajaan untuk melaksanakan pelarasan gaji kepada 1.6 juta penjawat awam, beliau berkata warga KPM bertekad untuk meningkatkan mutu perkhidmatan di setiap peringkat dan mereformasikan pendidikan negara sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Anwar.

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan yang telah bersetuju melaksanakan pelarasan gaji kepada pegawai kumpulan pelaksana, pegawai kumpulan pengurusan dan profesional serta pegawai kumpulan pengurusan tertinggi (KPT) perkhidmatan awam," katanya sambil menambah keputusan itu memberi manfaat kepada hampir 500,000 guru dan kakitangan KPM.

Kerajaan hari ini mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai kumpulan pelaksana dan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional, manakala tujuh peratus kepada pegawai KPT.

Pegawai kumpulan pelaksana dan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional akan menerima kenaikan sebanyak lapan peratus pada Fasa 1 dan tujuh peratus pada Fasa 2, manakala untuk KPT ialah 4 peratus bagi Fasa 1 dan 3 peratus bagi Fasa 2.

-- BERNAMA