KUALA LUMPUR: Hektar Asset Management Sdn Bhd, pengurus Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT), mengumumkan penyempurnaan pengambilalihan Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM) pada RM148.5 juta.

Dalam satu kenyataan, ia berkata pengambilalihan ini menandakan detik penting dalam usaha pengembangan dan kepelbagaian strategik Hektar REIT, sebagai aset pendidikan pertama dalam portfolionya.

Selain itu, ia memberi faedah kepada pengurus itu berikutan aset tersebut dijamin di bawah perjanjian pajakan bersih empat kali ganda selama 30 tahun, memberikan hasil tambahan setiap tahun dan hasil purata 8.0 peratus sepanjang tempoh pajakan.

Pengambilalihan itu juga meningkatkan aset di bawah pengurusan (AUM) Hektar REIT sebanyak 12 peratus kepada RM1.38 bilion, dan memandangkan permintaan yang secara konsisten jauh melebihi pengambilan tahunan untuk penempatan di KYSM, ia melihat potensi pertumbuhan selanjutnya dalam aset yang boleh dimanfaatkan itu.

"Hektar REIT sedang dalam peringkat pengambilalihan yang aktif, ingin menyuntik lebih banyak aset yang menjana pendapatan dan menyasarkan untuk menggandakan saiz portfolio kami kepada RM3.0 bilion menjelang 2027.

"Beberapa aset sudah dalam perancangan untuk pertimbangan kami dengan strategi untuk mencampurkan aset bukan runcit sehingga 20 peratus dalam portfolio kami," katanya.

Dalam memilih aset baharu, pengurus itu memberi tumpuan kepada aset akretif hasil yang boleh memberikan pendapatan berulang yang mampan dan boleh dipertahankan, dengan minat khusus dalam aset pendidikan dan perindustrian.

Memandangkan sifatnya yang berdaya tahan terhadap pergerakan pasaran, sektor ini memberikan peluang kepada Hektar REIT untuk melabur.

Sebagai contoh, saiz pasaran pendidikan sektor swasta dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 6.5-7.0 peratus dengan keuntungan modal selanjutnya bergerak ke hadapan berdasarkan penyelidikan pasaran.

KYSM secara konsisten berada di kedudukan antara 10 sekolah terbaik di peringkat kebangsaan untuk keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan terkenal dengan kecemerlangan dalam kedua-dua pencapaian akademik dan kokurikulum sejak penubuhannya pada 1995.

-- BERNAMA