KUALA LUMPUR: Ketika ini bukan masanya untuk memperkenalkan peperiksaan baharu bagi murid Darjah 6 dan Tingkatan 3. 


Ringkasan AI
  • Zul Fikri Zamir menyatakan bahawa sekarang bukan masa yang sesuai untuk memperkenalkan peperiksaan baharu bagi murid Darjah 6 dan Tingkatan 3.
  • Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menumpukan tenaga untuk menyelesaikan isu kurikulum tanpa perubahan dasar yang membebankan murid.
  • Penggubalan dasar yang melibatkan peperiksaan baharu akan memberi kesan signifikan kepada generasi murid dan perlu dipertimbangkan dengan teliti.


Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif ‘Untuk Malaysia’, Zul Fikri Zamir berkata, Menteri dan seluruh pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menumpahkan segala tenaga untuk meyakinkan bahawa sebarang isu pendidikan semasa boleh diselesaikan tanpa perubahan dasar yang membebankan murid. 

"Tetapi saya fikir, masa untuk kita laksanakan peperiksaan itu telah berlalu, masanya bukan sekarang. Sekarang masalahnya ialah kurikulum. Kita minta kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Menteri yang terlibat untuk benar-benar menumpahkan tenaga dan kepakaran untuk menyelesaikan isu ini sehingga ibu bapa rasa nyaman dengan penyelesaian tersebut.

“Contohnya, baru-baru ini Ketua Pengarah Pelajaran berkata akan kurangkan 50 peratus kandungan silibus Matematik dan Sains. Seolah-olah ambil buku teks kemudian kerat dua dan buang separuh. Ini semua reaksi-reaksi KPM terhadap tekanan dari luar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.


Ini bukan masanya untuk perkenalkan semula peperiksaan – CEO Untuk Malaysia

Zul Fikri bersimpati dengan ibu bapa yang bimbang mengenai hala tuju pendidikan anak-anak yang dilihat seolah-olah tidak ada garis penamat dan dorongan yang jelas tanpa peperiksaan berpusat.

Namun, beliau tegaskan penggubalan dasar melibatkan pengenalan peperiksaan baharu akan memberi kesan kepada satu generasi murid secara signifikan dan dilihat sebagai bukan tindakan yang boleh diambil mudah.

Pada Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi pelajar Tahun 6 dan Tingkatan 3 perlu disemak semula dan dirombak selepas kewujudan masalah pelajar tidak mahir membaca, menulis dan mengira (3M).

Ahmad Zahid berkata perbincangan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini menyedari isu 3M adalah antara punca 10,177 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.


Agenda AWANI: UPSR, PT3 | Patut dikembalikan atau kekal mansuh?