Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dikenakan kompaun sebanyak RM272,000 oleh Kementerian Pengajian Tinggi kerana mengambil 34 pelajar di bawah syarat kelayakan masuk yang menyalahi Seksyen 40 (1) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555).

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Datuk Prof. Dr. Rujhan Mustafa berkata, kolej universiti tersebut perlu menjelaskan tawaran kompaun itu sebelum 26 Mac ini.

Katanya, jika gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil ke atas Kuin di bawah Seksyen 40 (2) yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 setiap pelajar atau enam bulan penjara.

Menurut Rujhan, pihaknya turut mendapati aliran tunai Kuin adalah negatif selama empat tahun sehingga 2010 dan memaklumkan supaya pengurusan kolej universiti itu meneliti perkara berkenaan dengan segera.

Katanya, Kuin turut diberi peringatan supaya mengambil berat kebajikan kakitangannya bagi menjaga moral mereka dan pihaknya sedang menunggu penjelasan bertulis daripada pengurusan tertinggi kolej universiti tersebut sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

Beliau berkata demikian berikutan aduan yang dibangkitkan pihak dalaman Kuin termasuk kelewatan pembayaran gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Perkerja (KWSP) sehingga menjejaskan kebaikan pekerja.