KUALA LUMPUR: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi memperluas perlindungan sosial kepada pengamal media sambilan (stringers) melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) hari ini.

Memorandum itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso John Riba Marin, dengan disaksikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di ibu pejabat Bernama, Wisma Bernama di sini.

Memorandum itu merupakan inisiatif kerajaan bagi menambah baik program perlindungan sosial, terutama bagi pengamal media yang sentiasa berdepan pelbagai cabaran semasa menjalankan tugas.

SKSPS bakal memanfaatkan seramai 493 pengamal media sambilan daripada 45 organisasi media di seluruh negara dengan nilai caruman sebanyak RM232.80 setiap individu bagi tempoh setahun bermula 1 Julai 2024.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzzaman Nik Husin, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Sementara itu Nur-ul Afida ketika berucap berkata inisiatif mendaftarkan golongan stringers ini sebagai pencarum Perkeso sebenarnya diusahakan oleh Fahmi sendiri dengan tujuan membantu mereka yang tidak pernah dilindungi Perkeso sebelum ini.

"Susulan itu, YB Fahmi (Menteri Komunikasi) telah meminta Bernama untuk membantu, dan pada Mei lepas kami menghubungi pihak Perkeso bagi mencari penyelesaian kepada isu yang membelenggu para stringers.

"Selepas mengadakan beberapa siri perbincangan, akhirnya kesepakatan dicapai oleh Bernama dan Perkeso bagi mempermudahkan cara untuk membuka akaun caruman perlindungan sosial stringers melalui SKSPS," katanya.

Beliau berkata selain stringers, MoU ini juga bertujuan membolehkan Perkeso dan Bernama bekerjasama dalam program-program promosi, perkongsian data di bawah SKSPS bagi orang atau persatuan dan semua individu yang terlibat dalam aktiviti pemberitaan yang ditafsirkan sebagai orang bekerja sendiri dalam perusahaan mengikut Jadual Pertama Akta SKSPS (Akta 789).

"Dalam usaha meluaskan faedah SKSPS, Bernama dan Perkeso turut membincangkan kaedah perlindungan lain yang boleh membantu para pengamal media," katanya.

Nota Perlindungan Perkeso turut disampaikan kepada 10 petugas media sambilan daripada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Astro AWANI, Media Prima Berhad, Utusan Malaysia, Makkal Osai dan Bernama.

SKSPS diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) yang memberi perlindungan kepada orang berinsurans bekerja sendiri, daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.

-- BERNAMA