HALIFAX, NOVA SCOTIA: Peningkatan tahap pendidikan dalam kalangan wanita di negara ini dilihat memberi sumbangan positif kepada kebajikan sosioekonomi keluarga, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, perkara berkenaan merupakan perkembangan sihat dalam kalangan wanita dan beliau telah mencadangkan beberapa inisiatif memperkasakan golongan itu di peringkat lebih tinggi.

Kata Noraini, usaha memperkasa pendidikan serta penyertaan wanita itu telah dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Parlimen Negara-Negara Komanwel (CPA), Persidangan Cawangan Kecil CPA dan Persidangan Ahli Parlimen Wanita Komanwel (CWP).

“Dalam mesyuarat Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif CPA, satu cadangan telah dibawa oleh CWP bagi meningkatkan penyertaan wanita yang sama rata atau sekurang-kurangnya 33 peratus sebagai exco di dalam CPA bagi memastikan suara dan pendapat serta isu-isu yang berkait dengan wanita diberi keutamaan.

“Dalam hal ini, saya juga berkongsi inisiatif dalam menyokong usaha untuk memperkasakan ahli parlimen wanita dan mempromosikan kepelbagaian atau intersectionality,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam lawatan kerjanya di Persidangan Parlimen Negara-Negara Komanwel (CPC) ke-65 anjuran CPA di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menambah, dalam konteks negara ketika ini Dewan Rakyat diwakili oleh 33 wanita atau 14.9 peratus daripada 222 ahlinya, bagaimanapun, jumlah tersebut masih kecil berbanding populasi wanita yang merangkumi hampir separuh atau 47.7 peratus daripada 32.5 juta rakyat Malaysia.

“Di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), wanita telah memainkan peranan aktif dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa. Pada 2021, terdapat lebih ramai kakitangan wanita iaitu 56.8 peratus berbanding lelaki iaitu 43.2 peratus di IPT awam selain menempatkan lebih ramai pelajar wanita iaitu  61 peratus berbanding lelaki 39 peratus.

“Selain itu, hampir 60 peratus daripada lebih 15,000 kakitangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terdiri daripada wanita. Berdasarkan angka tersebut, saya jangkakan pencapaian yang lebih besar dalam kalangan wanita Malaysia akan dapat dicapai dalam masa terdekat,” katanya.

Tahun lalu, 20.6 peratus atau lebih daripada 180,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dimiliki wanita.

Sektor perniagaan ini menyumbang hampir RM70 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, yang mana telah menawarkan hampir 800,000 peluang pekerjaan bernilai lebih RM11.1 bilion.