KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memulakan siasatan duti antilambakan ke atas import produk gulungan rata besi atau keluli bukan aloi dengan kelebaran 600mm atau lebih, disalut, disadur atau disepuh dengan timah.

MITI menjelaskan tindakan itu diputuskan selepas menerima petisyen daripada pengeluar tempatan, Perusahaan Sadur Timah Malaysia (Perstima) Bhd, supaya siasatan itu dijalankan ke atas dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari China, India, Jepun dan Korea Selatan.

Kementerian itu memaklumkan pempetisyen mendakwa import dagangan subjek telah dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan domestik di pasaran negara tersebut (harga lambakan).

"Selaras dengan akta dan peraturan, penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari dari tarikh pemulaan siasatan.

"Sekiranya penentuan awal adalah afirmatif, kerajaan akan mengenakan duti antilambakan sementara pada kadar yang diperlukan untuk mengelakkan kecederaan selanjutnya kepada industri tempatan," menurut MITI dalam kenyataan pada Khamis.

Kementerian itu telah menilai dan mempertimbangkan maklumat dan bukti lambakan, kecederaan dan kesan hubungkait yang dinyatakan dalam petisyen itu, tambahnya.

MITI akan mengedarkan satu set soal selidik dan dokumen berkaitan kepada pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeksport atau pengeluar asing dagangan subjek di China, India, Jepun dan Korea Selatan, persatuan perniagaan serta kerajaan negara itu.

Pihak berkepentingan lain yang berminat untuk mengambil bahagian dalam penyiasatan duti antilambakan ini boleh memohon untuk mendapatkan soal selidik secara bertulis kepada MITI selewat-lewatnya pada 29 Ogos, 2024, tambah MITI.

"Pihak berkepentingan juga boleh memberikan pandangan secara bertulis, jawapan soal selidik dan bukti sokongan tambahan kepada MITI selewat-lewatnya pada 13 Sept, 2024.

"Sekiranya pihak berkepentingan tidak memberikan maklumat yang diperlukan atau maklumat dan pandangan tidak diterima dalam bentuk yang memadai dalam had masa yang ditetapkan, kerajaan boleh membuat penentuan awal berdasarkan fakta sedia ada," menurut MITI.

-- BERNAMA