RIO DE JANEIRO: Malaysia sedang menilai keperluan untuk mengadakan sesi libat urus dengan syarikat semikonduktor tempatan dan antarabangsa, serta pihak dari Amerika Syarikat (AS), China, dan Eropah, bagi memastikan rantaian bekalan kekal stabil susulan jangkaan dasar baharu daripada pentadbiran AS.


Ringkasan AI
  • Sesi Libat Urus Semikonduktor: Malaysia sedang menilai keperluan untuk mengadakan sesi libat urus dengan syarikat semikonduktor tempatan dan antarabangsa serta pihak dari AS, China, dan Eropah untuk memastikan rantaian bekalan kekal stabil. 2, Kebimbangan Tarif: Kerajaan sedang berbincang dengan pemain industri semikonduktor mengenai isu tarif yang mungkin dikenakan oleh pentadbiran AS, yang boleh menjejaskan harga dan penggunaan cip semikonduktor.
  • Strategi ASEAN: Ketegangan geopolitik memberikan limpahan positif kepada negara-negara ASEAN, dengan banyak syarikat memilih ASEAN sebagai lokasi pelengkap rantaian bekalan mereka, menjadikan Malaysia pilihan utama kerana pengalaman dalam industri elektrik dan elektronik.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, menyatakan bahawa kerajaan kini sedang berbincang dengan pemain industri semikonduktor untuk mengekalkan kekukuhan rantaian bekalan.

“Kerunsingan utama mereka bukan pada rantaian bekalan semata-mata, tetapi terhadap isu tarif. Ketika kempen pilihan raya presiden AS baru-baru ini, Donald Trump ada menyatakan hasrat untuk meningkatkan tarif terhadap sektor strategik seperti semikonduktor.

“Namun, ini masih awal dan belum ada kepastian,” jelasnya kepada media Malaysia dalam lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di sini.

Tengku Zafrul menambah, kerajaan perlu bersedia untuk menghadapi sebarang senario. Trump sebelum ini berjanji untuk menaikkan tarif sehingga 10 hingga 20 peratus bagi semua barangan import ke AS dan 60 peratus bagi barangan buatan China.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan kenaikan harga cip semikonduktor, yang boleh mengurangkan penggunaannya secara meluas, walaupun teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) amat memerlukan komponen tersebut.

“Kami masih belum pasti sama ada tarif ini akan dilaksanakan. Namun, kajian dan analisis pelbagai senario perlu dilakukan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada dasar Trump memberi kelebihan kepada Malaysia, Tengku Zafrul berkata bahawa ketegangan geopolitik telah memberikan limpahan positif kepada negara-negara ASEAN kerana rantau ini dianggap strategik dan berkecuali.

“Banyak syarikat, terutamanya dari China dan Eropah, kini mengamalkan strategi ‘Plus One’ dengan memilih ASEAN sebagai lokasi pelengkap rantaian bekalan mereka. Malaysia menjadi pilihan kerana pengalaman lebih 50 tahun dalam industri elektrik dan elektronik (E&E),” katanya.

Namun, beliau turut memberi amaran bahawa kenaikan tarif dalam jangka panjang boleh memberi kesan negatif.

“Jika harga cip meningkat, permintaan mungkin terjejas. Harga yang terlalu mahal boleh mengurangkan penggunaan, dan ini perlu diberi perhatian,” jelasnya lagi.