BUTTERWORTH: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan sesi libat urus di seluruh negara sebelum memuktamadkan keputusan berhubung pelaksanaan tempoh bekerja 45 jam bagi petugas syif termasuk jururawat, penolong pegawai perubatan dan pemandu ambulans.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata beliau sendiri telah hadir ke beberapa sesi libat urus di Pulau Pinang, Pahang, Kota Kinabalu, Batu Pahat dan yang terakhir di Terengganu pada minggu depan bagi mendengar pandangan semua pihak.

"Kita mengambil pandangan, maklum balas daripada semua pihak. Izinkan kami (KKM) mengadakan semua libat urus ini dulu dan saya sendiri pun sudah nampak kecenderungan, permintaan dan tuntutan mereka.

"Perkara ini bukan suatu yang sukar untuk saya atasi dan kita akan dapat satu keputusan yang baik khasnya untuk kebajikan jururawat, saya akan memberitahu dalam waktu terdekat (keputusan)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka Wellness Hub Seberang Perai Utara di Klinik Kesihatan Sungai Dua di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa pihak menyuarakan kebimbangan mengenai arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), yang akan memerlukan jururawat yang bekerja secara syif bekerja selama 45 jam seminggu, bertambah daripada 42 jam ketika ini.

Mengenai melonggarkan syarat kemasukan ke program diploma kejururawatan untuk menangani kekurangan petugas berkenaan di negara ini, Dzulkefly menegaskan ia penting bagi menggalakkan lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar mengikuti kursus kejururawatan.

Beliau berkata kualiti kejurawatan tidak akan terjejas meskipun entry point kemasukan dikurangkan, berikutan kualiti kursus dan exit point ketika bergraduasi masih dikekalkan.

Dzulkefly sebelum ini mengumumkan rancangan untuk melonggarkan syarat kemasukan ke program kejururawatan bagi menangani kekurangan petugas itu di seluruh negara dan kriteria baharu itu akan terpakai hanya kepada pelajar yang mendaftar bagi pengambilan 2025 dan 2026.

Di bawah syarat sebelum ini, calon memerlukan lima kepujian dalam Sijil Pelajaran Malaysia, termasuk Bahasa Melayu, Matematik dan satu subjek Sains, serta lulus dalam Bahasa Inggeris manakala syarat baharu, pemohon perlu kredit bagi Bahasa Melayu, Matematik dan satu mata pelajaran Sains serta lulus dalam dua subjek tambahan termasuk Bahasa Inggeris.

Terdahulu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan agar memberi tumpuan kepada penambahbaikan kepada terma perkhidmatan dan imbuhan jururawat berbanding melonggarkan syarat kemasukan ke program diploma kejururawatan.

-- BERNAMA