KUALA LUMPUR: Malaysia bercita-cita memanfaatkan Kepengerusian ASEAN pada 2025 untuk meletakkan rantau itu serta negara ini sebagai pusat yang dinamik untuk pelaburan, perdagangan, dan industri, terutamanya dalam usaha menjadikan rantaian bekalan global lebih berdaya tahan.

Bagi mencapai tujuan ini, Malaysia sedang berusaha untuk menyelaraskan dirinya dengan visi rantau itu yang lebih besar dalam menarik pelaburan yang tepat ke Asia Tenggara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini.

Beliau berkata ASEAN, yang "amat neutral dan tidak berpaksi, berada di kedudukan yang sangat baik untuk menarik lebih banyak pelaburan terutamanya dalam sektor pembuatan."

Sektor pembuatan hanya menyumbang 22 peratus pada 2022 berbanding sektor perkhidmatan yang merangkumi hampir 74 peratus pelaburan ke dalam ASEAN, kata beliau dalam ucaptama di Persidangan Persatuan Presiden Dunia Kelima di sini hari ini.

Beliau berkata demikian di persidangan yang bertajuk "Invest in Malaysia: Expand Beyond" bahawa Kepengerusian Malaysia akan memberi tumpuan kepada meningkatkan pelaburan dalam sektor pembuatan, terutamanya untuk kenderaan elektrik, semikonduktor dan ekonomi digital.

Tengku Zafrul juga menyatakan keyakinan bahawa Kepengerusian Malaysia dalam mempromosikan pelaburan rentas sempadan seperti dengan China dan negara-negara Timur Tengah, akan membawa kepada pertukaran dan inovasi ekonomi yang transformatif sambil memacu pertumbuhan dan pelaburan ekonomi merentas wilayah yang besar.

Tema untuk Kepengerusian Malaysia yang akan datang ialah "Keterangkuman dan Kelestarian," yang "menzahirkan niat Malaysia untuk membimbing ASEAN ke arah pertumbuhan yang adil, lestari dan inklusif," kata menteri berkenaan.

"Ketika ASEAN memajukan matlamat perindustrian, sumbangan Malaysia adalah dalam bentuk kapasiti semikonduktornya, yang membantu menjamin rantaian bekalan global untuk industri penting ini dan yang diiktiraf sebagai nadi gaya hidup moden, inovasi dan pertumbuhan teknologi.

"Inilah sebabnya kami menghasilkan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS), yang bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dan secara tidak langsung kedudukan ASEAN sebagai pemain penting dalam landskap semikonduktor global," kata Tengku Zafrul.

"Terima kasih kepada dasar-dasar yang jelas, dasar pelaburan yang kukuh dan undang-undang yang teguh, Malaysia telah diiktiraf sebagai destinasi menarik untuk pelbagai pelaburan seperti semikonduktor, peranti perubatan dan pusat data," tambahnya.

Ini telah membolehkan Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan meningkat sebanyak 18 peratus pada Jun 2024, menghasilkan lebih 79,000 pekerjaan baharu, katanya.

"Ini juga menunjukkan daya tarikan berterusan Malaysia kepada pelabur dan daya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global," katanya sambil menambah daripada keseluruhan jumlah pelaburan asing itu, 13 peratus datangnya dari China.

"Melangkah ke hadapan, visi kami adalah untuk ASEAN dan Malaysia terus menarik perusahaan global melabur dalam banyak peluang yang ditawarkan oleh pelbagai sektor ekonomi kita," katanya.

Bagi Malaysia, di tengah-tengah hala tuju itu ialah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), sebuah dasar perindustrian holistik berasaskan misi yang bertujuan untuk pembaharuan asas perindustrian daripada memajukan kompleksiti ekonomi, kepada memupuk kejayaan digital dengan mengintegrasikan teknologi digital merentas industri dan mendorong ke arah sifar bersih hinggalah kepada memastikan keselamatan ekonomi dan keterangkuman, katanya.

Beliau berkata pegawai-pegawai kanan ekonomi ASEAN sedang sibuk membuat persiapan untuk mesyuarat mereka yang akan datang, iaitu hanya dua hari lagi pada 4 - 5 Dis di Kota Kinabalu untuk memuktamadkan Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang bercirikan sasaran substantif bagi perdagangan dan pelaburan dalam industri, yang akan dijayakan oleh Pengerusi atau negara tuan rumah yang akan datang.

Terdapat juga Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Campur China pada Mei 2025, yang dijangka menjadi satu lagi acara penting dalam meningkatkan pelaburan merentas wilayah, terutamanya kepada sektor-sektor seperti semikonduktor, kenderaan elektrik (EV), dan tenaga boleh baharu (RE).

"Ketika ASEAN memupuk hubungan yang lebih kukuh antara Asia dan Timur Tengah, terdapat peluang untuk kita semua membantu mengukuhkan kedua-dua rantaian bekalan serantau dan global melalui dialog pelbagai hala tersebut," katanya.

Agenda Malaysia adalah untuk menarik pelaburan berpandukan dasar seperti Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Strategi Pelaburan Hijau (GIS) dan Rangka Kerja Dasar Ekonomi Pekeliling untuk Sektor Pembuatan.

Sebagai pengerusi, menteri berkata Malaysia akan menyokong dasar yang menggalakkan kesaksamaan sosial, akses kewangan dan penyertaan inklusif dalam komuniti ekonomi ASEAN.

"Kami berhasrat untuk memperkasakan semua segmen masyarakat, khususnya wanita, belia dan syarikat pemula niaga, memastikan setiap orang mempunyai peluang untuk berkembang maju dan mendapat bahagian yang saksama dalam kemakmuran ASEAN.

Melalui 'tonggak ekonomi ini': "Komitmen kami terhadap matlamat ini tertumpu kepada empat teras strategik, iaitu meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN, mewujudkan masa depan yang inklusif dan mampan, menggalakkan integrasi dan ketersambungan ekonomi serta membina ASEAN yang berdaya tahan secara digital," kata Tengku Zafrul.

-- BERNAMA