Ringkasan AI
- Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menangani isu keselamatan kenderaan berat, dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha, Datuk Jana Santhiran Muniayan.
- Prosedur pemeriksaan berkala di Puspakom akan diperkemas dengan menambah elemen keselamatan kritikal seperti tayar dan sistem brek, serta meningkatkan penguatkuasaan melalui sistem HS-WIM dan AwAS.
- MOT akan menilai semula undang-undang seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 untuk memastikan hukuman lebih efektif terhadap kesalahan membawa muatan berlebihan.
Menterinya, Anthony Loke berkata, ia akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan.
"Saya telah tugaskan Datuk Jana untuk mempengerusikan pasukan khas ini yang bukan sekadar untuk mengkaji dan menilai apa yang boleh dilaksanakan, tetapi untuk memulakan pelaksanaan segera bagi apa yang boleh dilaksanakan.
"Apa dasar yang boleh dibincangkan dan dilaksanakan dengan segera. Pasukan ini melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk merangka strategi efektif demi keselamatan semua pengguna jalan raya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis amanat tahun baharu 2025, di sini, pada Isnin.
Pada 23 Disember lepas, tujuh maut manakala 33 cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara berdekatan Ayer Keroh, Melaka.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada tayar lori treler yang tercabut.
Dalam pada itu, Loke berkata, prosedur pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) akan diperkemas dengan menambah elemen keselamatan kritikal seperti tayar dan sistem brek.
"Langkah ini bertujuan untuk memastikan semua kenderaan mematuhi spesifikasi keselamatan yang telah ditetapkan," katanya.
Beliau menambah, kementeriannya akan meningkatkan penguatkuasaan melalui pendekatan bersepadu selain sistem "High Speed-Weigh in Motion" (HS-WIM) akan diperluas untuk memantau muatan kenderaan berat secara automatik.
"Sistem kamera Automated Awareness Safety System (AwAS) akan ditambah baik dengan mekanisme point-to-point bagi memantau kelajuan kenderaan secara lebih menyeluruh," katanya.
Malah, kementeriannya juga akan menilai semula undang-undang seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 untuk memastikan hukuman lebih efektif terhadap kesalahan membawa muatan berlebihan.