Ringkasan AI
- Datuk Seri Najib Razak mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
- Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, memutuskan bahawa kes tersebut perlu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan oleh hakim yang berbeza.
- Pengurusan kes ditetapkan pada 13 Januari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Semakan kehakiman itu adalah satu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah Adendum pada Januari tahun lalu.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.
Penghakiman majoriti itu juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum, bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu.
Hakim Mohd Firuz Jaffril ketika membaakan keputusan itu berkata, mahkamah mendapati tiada cabaran daripada pihak responden terhadap bukti tambahan yang dikemukakan.
Katanya, mahkamah turut berpendapat mahkamah tidak boleh mengabaikan fakta dan bukti yang dikemukakan oleh perayu dalam kes ini.
"Sehubungan itu mahkamah memerintahkan supaya kes semakan kehakiman berkenaan diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan didengar dan diputuskan di hadapan hakim berbeza," katanya di sini, pada Isnin.
Mohd Firuz berkata, bukti tambahan yang dipohon Najib tidak dikemukakan di mahkamah apabila pihak perayu mula memfailkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi tahun lalu.
"Ketekunan wajar dan munasabah mesti dilaksanakan untuk memastikan bukti yang dipersoalkan itu akan mempengaruhi keputusan kes (semakan) ini.
"Prinsip ini terpakai kepada semua orang, tanpa mengira kedudukan, bangsa, atau agama.
"Ia adalah kes perayu bahawa mereka tidak boleh mendapatkan Titah Adendum berkenaan bagi tujuan permohonan semakan kehakiman mereka," jelasnya.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonan kebenaran semakan kehakimannya.
Mohd Firuz berkata, perayu juga telah menulis surat kepada enam responden untuk mengesahkan kewujudan Titah Adendum itu tetapi tidak pernah menerima jawapan, oleh itu beliau memohon perkenan Sultan Pahang untuk menggunakan dokumen berkenaan dalam permohonan semakan kehakimannya.
Pengurusan kes ditetapkan pada 13 Januari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.