KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan antaranya usaha mengukuhkan penglibatan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), kebenaran mengambil guru Contract of Service (CoS) tertakluk kepada pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Selain itu, pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdasarkan keperluan dan keutamaan serta penglibatan dalam perancangan projek pembangunan pendidikan.
"KPM turut bersetuju memberi perwakilan kuasa melulus projek penyelenggaraan sekolah yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak atau mana-mana pihak lain selain KPM kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, tertakluk kepada garis panduan yang sedang berkuat kuasa," menurut kenyataan itu..
Kenyataan itu turut memaklumkan mesyuarat JTBPP Negeri Sarawak telah diadakan pada Februari lalu manakala Mesyuarat JTBPP Negeri Sabah pula akan dilangsungkan pada Oktober depan.
KPM memaklumkan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilihat dapat memperkukuhkan lagi pendidikan di Sabah dan Sarawak.
"Antara perkara yang dibincangkan termasuk keperluan merunding dengan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak untuk melantik pegawai pendidikan daerah, pengetua dan guru besar bagi mengisi kekosongan dan pemangkuan jawatan sebelum Menteri Pendidikan membuat kelulusan seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)," menurut kenyataan itu.
Menurut KPM, langkah kerajaan menubuhkan JTBPP telah membuahkan hasil yang positif.
" Kementerian Pendidikan bersama kerajaan Sabah dan Sarawak bekerjasama erat bagi memastikan pendidikan di kedua-dua negeri itu dapat terus dipertingkatkan dalam ruang lingkup semangat kesatuan MA63," jelas KPM.
-- BERNAMA