JAKARTA: Seorang suami di Sumenep tergamak membunuh isterinya hanya kerana wanita itu bertindak 'dingin' selepas ditunjukkan sebuah kandungan video TikTok.

Kejadian berlaku pada Sabtu lalu di rumah pasangan itu sekitar jam 6.30 petang waktu tempatan.

Mengesahkan kejadian itu, Ketua Polis Sumenep AKBP Henri Noveri Santoso berkata, suspek AH, 46, pada hari kejadian menunjukkan kandungan video TikTok mengenai nasihat tentang ketaatan isteri kepada suami.

"Bagaimanapun mangsa memberi respons yang dinilai oleh suspek sebagai dingin sehingga membuatkan AH marah dan menuduh isterinya mempunyai lelaki lain," katanya kepada wartawan pada Selasa.

Henri berkata, suspek kemudian menampar pipi mangsa berkali-kali, selain memukulnya di bahagian kepala, badan dan paha selain menghentak kepala mangsa pada dinding.

"Hasil bedah siasat mendapati punca wanita itu meninggal dunia akibat hentakan kuat pada lehernya," tambah Henri.

Suspek kini ditahan di balai polis Sumenep dan berdepan hukuman penjara 15 tahun. - Sinar Harian memetik agensi