Malah yang lebih tragis, insiden pembunuhan terhadap mangsa yang dikenali sebagai Ai Jaenabiah,35, berlaku di hadapan mentuanya di rumah mereka yang terletak di Desa Mukapayung, Kecamatan Cillin dalam kejadian pada 8 Disember.
Menerusi sidang media polis pada Isnin, Ketua Polis Cimahi, AKBP Tri Suhartanto mengesahkan kejadian itu serta memaklumkan bahawa suspek sudah ditangkap kurang daripada lapan jam selepas laporan dibuat oleh penduduk Mukapayung.
"Selepas polis tiba di lokasi kejadian, mangsa sudah meninggal dunia, mereka pada awalnya hanya bergaduh mulut hinggalah suspek menikam mangsa, selain memukul mangsa dengan sebatang kayu sehingga mati," katanya kepada wartawan.
Sementara itu suspek yang dikenali S,45, berkata, api cemburunya kian membuak-buak selepas melihat sebuah foto isterinya bersama lelaki lain di Facebook.
"Lantaran itu saya mahu merampas telefon bimbit miliknya, hinggalah kami bergaduh kerana dia enggan memberikannya kepada saya.
"Saya kemudiannya mengambil pisau di dapur lalu menikamnya sebanyak tiga kali, selepas itu saya mengambil kayu di luar rumah... mentua cuba meleraikannya tetapi dia tidak berjaya," katanya semasa sidang media bersama polis Cimahi pada Isnin.
Suspek kini berhadapan hukuman maskimum penjara 15 tahun. - Sinar Harian memetik agensi