JOHOR BAHRU: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia selepas seminggu bertarung nyawa di Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat kemalangan pada pagi Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa berusia 43 tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam 5.42 petang di hospital berkenaan.

Ujar beliau, kemalangan berlaku jam 8.50 pagi di Kilometer (KM) 8, Jalan Johor Bahru-Air Hitam ketika lelaki warga tempatan itu menunggang motosikal SYM Sport Bonus SR dalam perjalanan dari arah Skudai menuju ke Johor Bahru.

"Mangsa telah mengubah haluan secara tiba-tiba dari lorong kanan ke lorong kiri dan menyebabkan dia dilanggar oleh sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah belakang.

“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tangan kiri, sementara pemandu Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa dikejarkan ke HSA bagi menerima rawatan lanjut, sementara pemandu Myvi membuat laporan polis mengenai kemalangan tersebut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Hafiz Aminuddin di talian 011-35807871. - Sinar Harian