Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya masih dalam proses mengemas kini memandangkan terdapat kira-kira 10,000 calon yang belum mengesahkan kehadiran.
"Anak-anak kita yang mengambil peperiksaan sudah pun mencecah 97 peratus, ini kehadiran yang baik. Maknanya kita masih dalam proses untuk kemas kini, masih ada lagi yang belum mengenal pasti dan mengesahkan kehadiran mereka.
"Ada lebih kurang 10,000 lagi. Jadi kita harap kehadiran ini dapat kita pertingkatkan untuk memastikan anak-anak kita hadir ke peperiksaan SPM," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengoperasian peperiksaan spm 2024 di Putrajaya pada Khamis.
Fadhlina berkata, ada calon berkeperluan khas di setiap negeri yang turut menduduki SPM termasuk dua calon berusia 63 tahun di Negeri Sembilan.
Jelasnya, KPM juga sedia mengaktifkan Op Payung sekiranya berlaku bencana banjir bagi membantu calon dan petugas peperiksaan yang terkesan.
"Kita telah siap sedia untuk aktifkan sekali lagi Op Payung dan antara negeri negeri yang berisiko telah pun kita kenal pasti dan setakat ini semuanya dalam keadaan terkawal," katanya.
Enam negeri dikenal pasti berisiko banjir ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah.