Kurang komunikasi dan mesyuarat menjadi antara punca utama pemimpin Pemuda UMNO dan Pakatan Harapan (PH) dilihat sering berbalah sesama sendiri sejak kebelakangan ini.

Perkara itu diakui sendiri Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat sayap parti berkenaan di ibu negara, pada Ahad.

Menurut Mohd Hasbie, kali terakhir sayap pemuda parti gabungan Kerajaan Perpaduan termasuk BN dan PH bermesyuarat adalah pada pertengahan tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan berjalan seperti biasa selepas Mesyuarat Bulanan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berlangsung di Menara Dato Onn setiap bulan.

"Kita sudah lama tidak bermesyuarat sesama sayap. Saya ingat yang terakhir pun pertengahan tahun lalu.

"Bagaimanapun, memang kita daripada PH termasuk sayap Pemuda DAP iaitu DAPSY sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan Pemuda UMNO biarpun hubungan antara kami nampak macam tegang," katanya.

Mohd Hasbie menjelaskan, hubungan antara sayap Pemuda Kerajaan Perpaduan nampak tegang kerana mereka tidak mempunyai platform rasmi untuk mengadakan perbincangan.

Ujar beliau, biarpun wujud kumpulan sembang WhatsApp dianggotai oleh pemimpin sayap pemuda parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, namun ia tidak lebih sekadar untuk bersosial bukan tujuan komunikasi rasmi parti.

"Sebab itulah apabila timbul ketegangan hubungan antara sayap Pemuda Amanah dan Pemuda UMNO Selangor, saya serah kepada timbalan saya untuk berurusan dan menyelesaikan perkara berkenaan.

"Saya berbuat demikian kerana mahu isu terbabit diselesaikan secara baik tanpa perlu melibatkan pemimpin tertinggi parti di peringkat Pusat," katanya.

Tambah Mohd Hasbie, biarpun wujud ketegangan dan perbalahan antara pemimpin sayap pemuda, namun PH terutama Amanah tidak pernah mensabotaj calon BN dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.

"Pemuda Amanah, DAP dan PKR bekerja keras bagi memastikan BN menang bergaya di PRK Pelangai, PRK Nenggiri, PRK Mahkota dan PRK Ayer Kuning pada bulan depan," katanya. - Sinar Harian