KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Akmal Saleh akan hadir bagi menyatakan solidariti kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Ketua Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Akmal Saleh akan hadir di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 Januari untuk menyatakan sokongan moral kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
  • UMNO tidak meneruskan penganjuran perhimpunan untuk Najib, tetapi tidak menghalang ahli untuk hadir secara individu. Muhamad Akmal menegaskan kehadirannya tidak bertentangan dengan arahan parti.
  • UMNO melalui keluarga Najib akan mengemukakan permohonan pengampunan sekali lagi kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong. UMNO menegaskan mereka tidak akan menderhaka kepada titah Sultan atau mana-mana Raja.


Menurut beliau, keputusan itu tidak bertentangan dengan pendirian parti yang tidak meneruskan penganjuran perhimpunan kepada Najib yang juga bekas Presiden UMNO berhubung isu Titah Adendum.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, Pemuda menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan sebagai ahli parti, beliau akur dan menghormati kenyataan UMNO.

"Tetapi sebagai seorang individu, seperti kebiasaan sebelum ini, saya pun pergi memberikan sokongan moral kepada Najib di Mahkamah Jalan Duta.

"Maka, pada 6 Januari ini, saya akan hadir juga atas kapasiti saya sebagai seorang individu untuk memberikan sokongan moral kepada Najib.

"Parti minta untuk tidak berhimpun, tetapi parti tidak menghalang untuk tidak pergi menyatakan sokongan moral.

"Jadi bagi saya, ini tidak bertentangan dengan arahan parti. Jadi saya percaya juga ada ramai pemimpin UMNO akan hadir pada 6 Januari bagi memberikan sokongan moral," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Mengulas mengenai pendirian Pas yang menggalakkan ahlinya menyertai himpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’, Muhamad Akmal berkata, pihaknya mengalu-alukan perkara itu jika niat parti Islam itu adalah murni.

"Tetapi jika ada niat lain, saya rasa cukup la kita tahu apa yang sudah berlaku.

"Yang paling penting sekali, tujuan utama pada 6 Januari ini adalah menyatakan sokongan kita kepada Najib.

"Jika Pas berpendirian sedemikian, saya serahkan kepada mereka... tiada masalah," ujar beliau.

Pada masa sama, Muhamad Akmal memaklumkan UMNO melalui pihak keluarga Najib akan mengemukakan permohonan sekali lagi kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Tegas beliau, UMNO tidak akan sesekali menderhaka kepada titah Sultan atau mana-mana Raja dalam negara ini.

Istana Negara dalam kenyataan pada Jumaat berkata, cadangan supaya mana-mana banduan diberi keampunan atau pengurangan hukuman hendaklah dikemukakan oleh banduan terbabit untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Istana Negara memaklumkan kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Malam tadi, UMNO dalam kenyataan memaklumkan tidak akan meneruskan perhimpunan 'Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan' pada 6 Januari.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong.