KUALA LUMPUR: Teresa Kok mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung kenyatannya yang mahu menampal logo tidak halal pada dahi Ahli Parlimen Seputeh itu. 

Katanya, ketika ini beliau sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam.

"Saya sekarang mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam dan saya akan bincang dengan peguam saya (sekali lagi) selepas sesi ini," katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan di di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) berhubung kenyataannya berhubung persijilan halal, di sini, pada Selasa.

Menerusi satu hantaran video di Tik Tok, Muhammad Akmal yang melabelkan Naib Presiden DAP itu sebagai ‘nyonya tua’, berkata Teresa tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.

Beliau turut meminta kerajaan menyediakan logo tidak halal untuk ditampal di dahi pemimpin itu.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Sehari kemudian Teresa mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Beliau dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.

Kenyataan itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.