PUTRAJAYA: Pimpinan UMNO diingatkan agar tidak 'mengusik' rakan-rakan parti komponen Kerajaan Perpaduan sehingga menimbulkan masalah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, hubungan dan situasi perpaduan semasa dalam kerajaan perlu dikekalkan dengan sikap hormat-menghormati.

"Kenyataan Datuk Nur Jazlan Mohamed (Timbalan Pengerusi UMNO) dan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh (Ketua Pemuda UMNO) adalah kenyataan peribadi. Selagi presiden parti atau ketua parti tidak mengeluarkan sebarang kenyataan (maka) kenyataan itu adalah berbentuk peribadi.

"Tidak perlu minta maaf, jangan usik rakan-rakan komponen dalam parti-parti Kerajaan Perpaduan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutupan Konvensyen Rakan NADMA Malaysia Madani, Siaga Bencana di sini, pada Selasa.

Susulan kemenangan berturut-turut dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK), Nur Jazlan menggesa Pakatan Harapan memohon maaf kerana berdekad-dekad memberi gambaran buruk kepada partinya.

Kenyataan Nur Jazlan di Facebook itu susulan desakan berterusan PH Johor kepada BN supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di negeri itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, selepas mesyuarat Jemaah Menteri, baru-baru ini beliau juga ada mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengerusi-pengerusi serta setiausaha agung parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan.

"Ketepikan perbezaan pandangan ini, dan kita mesti berjalan ke hadapan untuk menjalin kerjasama yang baik bagi menghadapi apa sahaja kemungkinan termasuk PRK atau Pilihan Raya Umum (PRU)," tambahnya.