Ringkasan AI
- Pemuda UMNO terus mendapat tempat dan menjadi kesayangan orang ramai, walaupun menghadapi cabaran politik dan rintangan.
- Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, menegaskan kepercayaan orang Melayu terhadap parti ini.
- Pemuda UMNO komited untuk mempertahankan hak-hak Melayu, hak-hak orang Islam, dan hak-hak Kedaulatan Raja-Raja Melayu, walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kepercayaan juga terus diterima dalam kalangan orang Melayu di negara ini.
"Pergilah ke mana-mana kedai kopi, carilah mana-mana orang Melayu, tanyalah siapa yang mereka harapkan. Sudah pasti mereka katakan Pemuda UMNO adalah harapan pada hari ini. Betul tak?
"Saya bukan nak syok sendiri, ada orang kata kita syok sendiri tapi Nenggiri dah menjadi saksi bahawa orang Melayu terlalu sayangkan UMNO dan terlalu sayangkan Pemuda UMNO.
"Tapi bila ada apa-apa isu yang timbul, masih ingat lagi tak ada isu yang timbul dalam negara ini, yang melibatkan negara, yang melibatkan kebajikan rakyat, tentang agama tentang bangsa, semua orang tunggu. Semua orang ternanti nanti apa ketua Pemuda UMNO Malaysia nak cakap," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Tambah beliau, selepas setahun bersama Kerajaan Perpaduan, beliau percaya ia merupakan satu pengalaman baharu dan yakin orang ramai berasa berlaku perubahan dalam parti itu.
"Tahun lalu ramai yang zahirkan kerisauan apabila rumah UMNO ini berada dalam kejiranan Kerajaan Perpaduan ini. Mereka katakan bahawa mereka risau, mereka takut UMNO perlu menjadi 'pak turut 'yang dipandir-kadukkan.
"Tapi masihkah sahabat-sahabat ingat? Pemuda UMNO sudah beri jaminan walaupun UMNO sudah berada dalam Kerajaan Perpaduan, kita akan pastikan nilai perjuangan kita takkan pernah berubah. Kita akan tetap mempertahankan hak-hak Melayu, hak-hak orang Islam dan hak-hak Kedaulatan Raja-Raja Melayu," katanya lagi.