Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota ditetapkan pada 28 September,
manakala tarikh penamaan calon akan berlangsung pada 14 September depan.
Kalau kita lihat keputusan lepas, Barisan Nasional (BN) seharusnya boleh menang dengan majoriti lima angka kali ini kerana BN dan Pakatan Harapan (PH) sudah bergabung di peringkat pusat.
Tetapi sejarah mengingatkan kita bahawa dalam politik, apa pun boleh berlaku dan keyakinan yang keterlaluan boleh menghukum kita akhirnya.
Namun beberapa perkara akan menjadi penentu:
i. Jumlah keluar undi
Walaupun PH dan BN telah bergabung di peringkat pusat, namun penyatuan ini tidak diterjemahkan secara langsung di bumi Johor memandangkan UMNO/BN memenangi lebih dua pertiga kerusi dalam DUN, dan wakil PH tiada dalam Mesyuarat Jawantakuasa Kerajaan Negeri.
Ini mungkin menjadi faktor jika pihak PH tidak bersungguh-sungguh untuk menyeru penyokong mereka keluar mengundi kerana calon yang bertanding adalah daripada parti BN. Dan jika penyokong mereka keluar mengundi, adakah mereka akan membantu atau menghukum BN? Jawapannya akan terserlah pada hari undi kelak.
ii. Calon
Walaupun tidak dapat disahihkan, antara nama yang disebut sebut adalah Ketua UMNO Bahagian, Pemangku Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan seorang bekas penghibur atau aktivis Kluang yang agak tersohor.
Juga tidak mustahil jika UMNO pusat dengan bahayanya mencalonkan seorang daripada ahli Majlis Kerja Tertingginya yang berasal dari Kluang.
Ketua Bahagian boleh dikatakan seorang veteran yang pernah menjadi ADUN dan Exco Negeri yang kini ditugaskan sebagai Pengarah Operasi PRK DUN Mahkota.
Akan tetapi, harus diingat bahawa rakyat kini dahagakan pelapis dan darah muda untuk diangkat menjadi wakil mereka dan bukan lagi individu lama yang pernah berkhidmat dan kalah di PRU sebelum ini.
Pemangku Ketua Wanita pula mungkin dipertimbangkan untuk 'mengganti' kerusi yang kosong berikutan kematian bekas Ketua Wanitanya, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.
Mereka mungkin menuntut kerusi itu di atas kuota wanita lebih-lebih lagi setelah di Nenggiri, calon Pemuda UMNO telah diberi tempat dan seterusnya menang pilihanraya kecil tempoh hari.
Kedua-dua ketua pemuda dan penghibur atau aktivis pula ada kekuatan masing-masing dan boleh diketengahkan.
Namun “advantage” memihak kepada ketua pemuda kerana beliau telah mengalahkan penghibur atau aktivis tersebut dalam pertandingan yang lepas untuk kedudukan Ketua Pemuda UMNO Bahagian.
Analisis
Jika pilihanraya ini sengit, maka calon UMNO yang paling terkenal dalam kalangan rakyat, walaupun tidak memegang jawatan dalam bahagian, harus dipertimbangkan.
Namun dalam keadaan yang agak selesa kini memandangkan BN mungkin boleh mengharapkan kepada tambahan undi daripada PH jika mereka jujur, calon yang dipilih sewajibnya datang daripada salah seorang pemegang jawatan di dalam UMNO bahagian tersebut.
Ini memberi makna kepada darjat jawatan dan perjuangan individu yang memegang jawatan itu secara rasmi. Kalau tidak, nilai perjuangan dan yang memegang jawatan dalam parti UMNO itu akan hilang maknanya.
Paling dibimbangi pula jika 'orang luar' daripada kepimpinan UMNO dipilih walaupun beliau seorang ahli parti dan terkenal, risiko sabotaj atau kurang kerjasama daripada jentera bahagian boleh berlaku.
Akhir kalam. Semua ini akan terbukti di petang 28 September kelak.
Apapun keputusan muktamad yang dibuat harus kita sambut dengan sokongan yang ikhlas dan setia.
Semoga diberi taufiq dan hidayah Allah kepada pucuk pimpinan UMNO dalam membuat keputusan yang terbaik untuk parti tanpa dihiraukan tekanan daripada mana-mana pihak yang luar daripada politik demi kesinambungan UMNO/BN dalam politik negara.
* Penulis adalah mantan ADUN Kempas (2013-2018) dan memegang keahlian UMNO 01059553.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Sidang Pengarang Astro AWANI.