Cadangan ini boleh menjadi langkah awal ke arah penguatkuasaan peraturan yang lebih tegas seperti yang dikenakan ke atas produk tembakau, jika diterima pakai.
Menurut Murthy, pengambilan alkohol meningkatkan risiko tujuh jenis kanser termasuk kanser payudara, kolon dan hati.
Namun, kebanyakan pengguna di AS masih tidak menyedari risiko ini.
Beliau juga mencadangkan supaya garis panduan mengenai had pengambilan alkohol disemak semula untuk membantu orang ramai mempertimbangkan risiko kanser semasa memutuskan sama ada mahu minum atau berapa banyak untuk diminum.
Garis panduan pemakanan semasa di AS menyarankan maksimum dua minuman sehari untuk lelaki dan satu minuman atau kurang sehari untuk wanita.
Pejabat Murthy dalam satu kenyataan bersama memberitahu, pengambilan alkohol adalah penyebab ketiga utama kanser yang boleh dicegah di AS, selepas tembakau dan obesiti.
Tambahnya, jenis alkohol yang diminum tidak memberi perbezaan dalam risiko.
Tidak jelas bila atau jika cadangan pakar bedah am ini akan dilaksanakan.
Pentadbiran Presiden Joe Biden kini menghampiri penghujungnya dan Murthy mungkin akan digantikan oleh Janette Nesheiwat, calon pilihan Presiden Terpilih Donald Trump untuk jawatan tersebut.
Trump, yang abangnya meninggal dunia akibat alkoholisme dan dirinya tidak minum alkohol, telah lama memberi amaran tentang risiko alkohol.
Robert F. Kennedy Jr, calon Trump untuk jawatan Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia, juga telah terbuka tentang perjuangannya melawan ketagihan heroin dan alkohol malah mengakui menghadiri mesyuarat Alcoholics Anonymous.
Keputusan untuk mengemas kini label produk alkohol akhirnya akan ditentukan oleh Kongres.