RASUAH dalam perkhidmatan kerajaan seperti tiada kesudahan. Hampir setiap hari, ada sahaja penjawat awam ditangkap kerana rasuah.

Akal seakan tidak percaya dengan tindakan khianat yang dilakukan. Setiap kali berlaku tangkapan, soalan-soalan berikut pasti bermain-main di bibir masyarakat.

“Adakah mereka yang terlibat ini tidak takut dengan undang-undang? Bagaimana perbuatan mereka ini tidak diketahui oleh penyelia atau ketua jabatan? Adakah ketua mereka juga terlibat?

Semakin ramai ditangkap, semakin masyarakat mempertikaikan tahap integriti dan moral penjawat awam kita.

Sedikit perspektif mengenai tahap keseriusan rasuah dalam kalangan penjawat awam. Berdasarkan statistik SPRM dari tahun 2019 hingga 2023, seramai 2,163 penjawat awam ditangkap kerana pelbagai kesalahan rasuah.

Jumlah ini mewakili 43.3 peratus daripada keseluruhan tangkapan iaitu 4,996 individu dalam tempoh yang sama.

Dari segi bentuk kesalahan rasuah, 1,347 penjawat awam atau 62.2 peratus ditangkap kerana meminta dan menerima suapan; 463 penjawat awam (21 peratus) ditangkap kerana membuat tuntutan palsu; 241 penjawat awam (11 peratus) ditangkap kerana salah guna kuasa; dan 21 penjawat awam (satu peratus) kerana menawar dan memberi suapan.

Bakinya ditangkap kerana kesalahan-kesalahan lain.

Pembabitan penjawat awam dalam jenayah rasuah telah memburukkan imej perkhidmatan kerajaan, merencatkan prestasi penyampaian, menjejaskan keselamatan awam dan menyebabkan ketirisan hasil negara.


Lima akibat rasuah

Penjawat awam yang terlibat rasuah pasti tidak sayangkan diri, keluarga dan kerjaya mereka.

Adakah berbaloi memperoleh banyak wang dari aktiviti rasuah, tetapi hati sentiasa dibelenggu kerisauan? Bila-bila sahaja boleh ditangkap SPRM.

Sekadar mengingatkan penjawat awam yang belum ditangkap SPRM atau sedang berjinak-jinak dengan rasuah.

Berikut adalah lima akibat yang akan dihadapi sekiranya ditangkap, didakwa dan disabitkan kesalahan rasuah.

Pertama, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda sebanyak lima kali nilai suapan.

Akta SPRM 2009 mewajibkan pesalah rasuah menjalani hukuman penjara. Tempohnya tertakluk kepada nilai rasuah dan keseriusan kes.

Denda dikira berdasarkan nilai suapan. Denda minimum adalah RM10,000.

Bagi rasuah yang tidak boleh dinilai dengan wang, seperti habuan seks, denda yang boleh dikenakan adalah RM10,000 atau lebih tinggi.

Kedua, hilang kelayakan bayaran pencen penjawat awam. Bagi penjawat awam, hukuman penjara boleh menyebabkan mereka hilang bayaran pencen.

Seksyen 21(1) Akta Pencen 1980 menyatakan, “… jika mana-mana orang yang telah diberikan pencen atau faedah lain di bawah Akta ini dikenakan hukuman mati atau penjara selama sesuatu tempoh oleh suatu Mahkamah, maka pencen atau faedah lain itu hendaklah terhenti dengan serta-merta.”

Dengan kata lain, hukuman penjara, walaupun sehari boleh menyebabkan mereka hilang pencen. Oleh sebab itu, pertimbangkan kesan ini sebelum anda melakukan jenayah rasuah.

Ketiga, harta yang diperoleh daripada aktiviti rasuah akan disita dan dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Pelucuthakan harta dilakukan sama ada melalui Seksyen 40 dan 41 Akta SPRM 2009; atau Seksyen 55 dan 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA 2001).

Pelucuthakan harta boleh dibuat dalam dua keadaan iaitu sama ada pelaku rasuah didakwa di mahkamah; atau pelaku rasuah tidak didakwa di mahkamah.

Menyita dan melucutkan harta memberi isyarat jelas bahawa rasuah adalah satu kesalahan berat. Tindakan ini memastikan semua hasil daripada aktiviti haram dikembalikan kepada kerajaan.

Pesalah rasuah juga tidak akan dapat menikmati hasil rasuah tersebut, walaupun setelah menjalani hukuman mereka.

Keempat, identiti pesalah rasuah dipaparkan di portal rasmi SPRM. Pangkalan Data Pesalah Rasuah diperkenalkan pada 4 Mac 2010, bertujuan mewujudkan kesedaran orang ramai mengenai kesan buruk rasuah.

Pangkalan data ini memaparkan identiti individu yang telah disabitkan dengan kesalahan rasuah. Maklumat yang dipaparkan adalah nama penuh pesalah rasuah, gambar, nombor kes, pertuduhan, hukuman dan tarikh sabitan kesalahan (mahkamah).

Pangkalan Data Pesalah Rasuah digunakan sebagai rujukan oleh majikan dan kedutaan asing dalam membuat penilaian ke atas individu yang memohon pekerjaan atau urusan pengeluaran visa.

Maklumat pesalah rasuah dipaparkan dalam pangkalan data selama tiga tahun dari tarikh sabitan. Orang ramai boleh melayari portal SPRM (www.sprm.gov.my) dan membuat carian di ruangan yang disediakan.

Kelima, pengurusan syarikat boleh dipenjara dan didenda sekiranya gagal melaksanakan usaha pencegahan rasuah.

Penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 amat relevan kepada pegawai kanan kerajaan yang dilantik menjadi ahli lembaga pengarah di sesebuah syarikat berkaitan kerajaan.

Merujuk kepada Seksyen 17A Akta SPRM 2009, adalah menjadi kesalahan apabila pihak pengurusan syarikat membiarkan pekerja mereka menawar atau memberi rasuah atas urusan perniagaan.

Menjadi kesalahan juga sekiranya syarikat gagal melaksanakan usaha-usaha pencegahan rasuah. Peruntukan undang-undang ini menghukum syarikat dan mereka yang terlibat dalam pengurusan syarikat.

Sekiranya bersalah, boleh didenda 10 kali nilai suapan (minimum RM1 juta); atau penjara tidak lebih 20 tahun; atau kedua-dua sekali.


Faedah menjadi penjawat awam berintegriti

Pilihan menjadi penjawat awam berintegriti atau penjawat awam yang korup, terletak di tangan masing-masing.

Terlibat rasuah menyebabkan seseorang penjawat awam terjerumus dalam pelbagai kesusahan. Memilih integriti sebagai jati diri mempunyai\ terlalu banyak kebaikan.

Menjadi penjawat awam berintegriti boleh meningkatkan prestasi kerja dan memelihara kesihatan mental.

Mereka tidak akan berasa ’terhutang budi’ dengan mana-mana ahli sindiket dan tiada perasaan takut jika perbuatan jahat terbongkar.

Kerajaan juga amat menghargai penjawat awam berintegriti yang menolak rasuah dan melaporkan kepada SPRM.

Pada 11 Mei 2011, Ketua Setiausaha Negara mengeluarkan surat pekeliling bertajuk ‘Garis Panduan Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah’.

Inisiatif kerajaan ini bertujuan menggalakkan penjawat awam untuk melaporkan rasuah, seterusnya mengiktiraf penjawat awam yang mempamerkan integriti tinggi dalam menangani tawaran rasuah.

Melalui surat pekeliling ini, penjawat awam yang melaporkan rasuah layak menerima pengiktirafan dan ganjaran kewangan daripada kerajaan.

Nilai ganjaran adalah bergantung kepada nilai rasuah yang ditawarkan. Kebanyakan kes, nilai ganjaran adalah sama dengan nilai rasuah yang ditawarkan.

Sehingga hari ini, 514 penjawat awam telah menerima pengiktirafan ini. Jumlah ganjaran yang telah diberi kepada penjawat awam terbabit adalah sebanyak RM1,035,363.

Selain itu, penjawat awam terbabit akan diberikan sijil penghargaan dan mereka boleh dipertimbangkan pencalonan anugerah pingat peringkat persekutuan atau negeri.

Berdasarkan data SPRM, pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia paling ramai menerima pengiktirafan ini iaitu 349 orang, melibatkan nilai ganjaran RM495,268.

Diikuti, Jabatan Imigresen Malaysia (53 orang, nilai ganjaran RM104,715); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (25 orang, nilai ganjaran RM123,450); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (17 orang, nilai ganjaran RM155,200); dan Jabatan Pengangkutan Jalan (11 orang, nilai ganjaran RM5,800)

Untuk rekod, ganjaran tertinggi yang pernah diterima oleh seorang pejawat awam kerana melaporkan rasuah adalah RM100,0000.



Mohamad Tarmize Abdul Manaf ialah Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.