SHAH ALAM: Seorang penjual kelapa warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi suapan wang tunai RM3,900 kepada seorang pegawai polis, minggu lepas.

Salah Uddin, 34, didakwa secara rasuah memberikan suapan wang tunai itu kepada seorang Inspektor di Balai Polis Kuala Selangor di Kuala Selangor, kira-kira 11 malam, 1 Jan lepas sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap adiknya yang didakwa melakukan kesalahan mencuri.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau dalam bentuk wang atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Alimi Mustapha dibantu Mohd Arif Asyraf Khairi tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh manakala peguam N. Moganeysha memohon anak guamnya yang bekerja sebagai penjual kelapa di pasar awam diikat jamin kerana mempunyai dokumen perjalanan yang lengkap dan sah.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud tidak membenarkan Salah Uddin diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 12 Feb.

-- BERNAMA