Rostam Shahrif Tami, 59, didakwa menerima rasuah berjumlah RM110,000 bagi kontrak berkaitan Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE).
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nasir Nordin.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menerima suapan berjumlah RM90,000 daripada sebuah syarikat pembinaan melalui seorang individu di sebuah restoran di Puchong pada 20 Februari 2023.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima RM20,000 daripada individu sama di Ibu Pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kajang pada 27 Mac 2023.
Tertuduh, yang diarahkan bercuti daripada jawatannya di Prolintas sejak Julai tahun lalu, diwakili peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan dibenarkan diikat jamin RM60,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irna Julieza Maaraz.
Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 27 Februari ini.
Terdahulu, tertuduh pada Isnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima suapan wang tunai RM70,000 daripada syarikat pembinaan berhubung Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE) dua tahun lalu.