PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati bekas pemandu lori yang didapati bersalah membunuh wanita warga emas berusia 85 tahun selepas merogol dan meliwatnya pada 2019, kepada penjara 40 tahun.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais, terdahulu menolak rayuan K. Sathiaraj untuk mengenepikan sabitan membunuh dihadapinya.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan rayuannya untuk mengubah hukuman mati kepada penjara selama 40 tahun, yang bermula dari tarikh tangkap iaitu 9 Okt 2019.

Harmindar yang mempengerusikan panel itu, juga memerintahkan Sathiaraj, 32, dikenakan 12 sebatan.

Pada Ogos 2022, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati terhadap Sathiaraj selepas didapati bersalah membunuh wanita itu di sebuah rumah flat di Ampang, Selangor antara 11.40 pagi dan 1 tengah hari, 19 Sept 2019.

Sebelum itu Sathiaraj yang mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan meliwat mangsa, dihukum penjara 13 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini. Bagaimanapun dia tidak merayu terhadap keputusan itu.

Pada Februari tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Sathiaraj dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadapnya.

Pada prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini, peguam Anwar Ezzad Zainal yang mewakili Sathiaraj memohon mahkamah mengubah hukuman mati anak guamnya kepada hukuman penjara selama 31 tahun, selari dengan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya How May Ling menghujahkan bahawa hukuman mati masih dikekalkan dan menyifatkan perbuatan Sathiaraj sebagai mengerikan, kejam. jahat dan paling luar biasa.

Beliau memperincikan bagaimana Sathiaraj berpura-pura meminta air daripada mangsa dan kemudiannya mengikut warga emas itu masuk ke rumah dan mengunci pintu.

-- BERNAMA