SHAH ALAM: Kerajaan komited melakukan agenda reformasi institusi termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun.


Ringkasan AI
  • Kerajaan komited melakukan agenda reformasi institusi termasuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa reformasi tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa untuk mengelakkan kegagalan.
  • Anwar menasihatkan bahawa segala usaha penggubalan undang-undang memerlukan proses rapi dan sokongan kukuh ahli Parlimen.


Bagaimanapun, perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu tidak boleh dibuat dengan gopoh supaya ia tidak berakhir dengan kegagalan.

Beliau memetik negara seperti Poland dan Czechoslovakia yang perlu diambil pengajaran apabila reformasi mereka gagal, antaranya kerana ia dibuat secara tergesa-gesa.

"Apa beza kita dengan kerajaan terdahulu. Kita tegas dengan keputusan reformasi sehingga ada antara kita yang takut untuk reformasi kerana anggap boleh merugikan, tetapi bagi yang pro-reform, mereka dilihat kurang sabar untuk lihat perubahan.

"Saya mahu katakan reformasi tidak mungkin berjaya sekiranya pimpinan laksana secara gelojoh, terlalu mendadak,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen IDCC, di sini, pada Ahad.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, apa yang dikatakan beliau ini bukan alasan untuk mengelak reformasi dilakukan segara.

Katanya, ini dapat dibuktikan apabila dalam tempoh dua tahun pentadbiran, pelbagai perubahan telah dibuat.

Ini termasuk kelulusan pindaan rang undang-undang yang membolehkan kerajaan mengembali dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

Rentetan itu, Anwar menasihatkan semua pihak bahawa segala usaha membabitkan penggubalan undang-undang memerlukan proses rapi terutama cabaran untuk meraih sokongan kukuh ahli Parlimen.