Ringkasan AI
- Avitan Shalom, seorang lelaki warga Israel, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen kerana memiliki 200 peluru dan enam senjata api.
- Hukuman penjara tujuh tahun bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 28 Mac 2024.
- Barang-barang tertuduh, termasuk pasport antarabangsa, 14 kad kredit, dan empat telefon bimbit, diserahkan kepada penjara dalam tempoh 14 hari.
Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas Avitan, 39, mengaku bersalah bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan dan mengambil kira keseriusan kesalahan memilik senjata api.
"Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi pertuduhan utama dan tujuh tahun untuk pertuduhan pilihan. Hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 28 Mac 2024.
"Barang tertuduh iaitu pasport antarabangsa, 14 kad kredit dan empat telefon bimbit milik tertuduh diserahkan kepada penjara dalam tempoh 14 hari," katanya pada prosiding yang dijalankan di Kompleks Mahkamah Penjara Kajang.
Sebelum ini, Mohd Zaki menetapkan tarikh perbicaraan kes berkenaan selama 14 hari bermula 19 hingga 21 Mac, 13 hingga 16 Mei, 3 hingga 5 Jun dan 23 hingga 26 Jun 2025, dengan prosiding diadakan di kompleks mahkamah itu.
Avitan, didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.
Pertuduhan pilihan itu dikemukakan bagi menggantikan pertuduhan kedua dihadapi tertuduh sebelum ini iaitu didakwa berdagang enam senjata api serupa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini antara 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lepas, mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam memaklumkan kepada mahkamah bahawa peguam tertuduh telah mengemukakan representasi ketiga kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 19 Feb lepas, memohon agar pertuduhan pilihan diberikan kepada anak guamnya bagi menggantikan pertuduhan kedua.
"Tertuduh mahu mengaku bersalah terhadap pertuduhan pertama dan pertuduhan pilihan serta bersedia menjalani hukuman penjara maksimum tujuh tahun.
"Lanjutan daripada representasi yang dikemukakan itu, pada 20 Feb lepas, AGC telah membalas representasi tersebut dan bersetuju dengan representasi yang dimohon tertuduh," kata Mohamad Mustaffa yang turut memaklumkan dua representasi sebelum ini telah ditolak oleh AGC.
Peguam Datuk Naran Singh yang mewakili Avitan kemudian mengesahkan mengenai representasi itu.
Naran ketika mengemukakan rayuan bagi pihak anak anak guamnya memaklumkan lelaki itu yang memiliki syarikat pembekalan perubatan dan hartanah di New York mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja selain dua anak lelaki dan seorang perempuan masing-masing berumur 16, 10 dan sembilan tahun.
"Tertuduh juga bersetuju untuk menjalani hukuman penjara tujuh tahun dengan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 28 Mac 2024. Selain itu, tertuduh mohon pasport antarabangsa, 14 kad kredit dan empat telefon bimbit milik tertuduh diserahkan kepada penjara," kata peguam itu.
