GEORGE TOWN: Satu sindiket pengedaran dadah tumpas selepas polis memberkas lima lelaki termasuk seorang warga asing dalam dua serbuan di Seberang Perai Utara, antara 1 tengah hari semalam hingga 4 pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata pihaknya turut merampas lebih 12 kilogram (kg) heroin bernilai RM124,550 dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu.

Beliau berkata dalam serbuan pertama di kawasan penternakan haiwan di Tasek Gelugor, polis menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing.

Polis turut menemukan 22 peket plastik lut sinar berisi serbuk serta ketulan berwarna putih dan kuning disyaki dadah jenis heroin seberat 10.025 kg bernilai RM96,250, katanya.

"Susulan dari tangkapan itu, pihak polis kemudian menangkap dua lagi lelaki tempatan secara berasingan dan dengan dipandu arah suspek, pihak polis telah ke satu bilik di kawasan Mak Man Mandin.

"Hasil pemeriksaan di bilik tersebut, polis telah merampas tujuh peket plastik lut sinar berisi serbuk dan ketulan berwarna putih dan kuning disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 2.95 kg bernilai RM28,300 sekali gus menjadikan keseluruhan dadah yang dirampas adalah 12.975 kg bernilai RM124,550," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hamzah berkata pihaknya turut menyita tiga kereta, dua motosikal, lima utas rantai leher, empat bentuk cincin, dua subang dan wang tunai RM2,500 dengan keseluruhan rampasan dadah serta sitaan harta bernilai lebih RM311,000.

Menurutnya hasil risikan mendapati sindiket itu bergiat aktif sejak pertengahan tahun lepas dan dadah dirampas boleh digunakan 650,000 orang.

Beliau berkata seorang daripada suspek didapati positif dadah jenis metamfetamina dan empat suspek mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

Kesemua mereka berusia antara 21 hingga 42 tahun itu direman enam hari hingga 15 Jan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

-- BERNAMA