PUTRAJAYA: Ketika mata wang kripto semakin mendapat perhatian sebagai alternatif kepada mata wang konvensional, ia juga menjadi medium baharu bagi perasuah menjalankan kegiatan jenayah mereka.


Ringkasan AI
  • Mata wang kripto semakin digunakan oleh perasuah untuk menjalankan kegiatan jenayah mereka, menjadikan jejak kewangan lebih sukar dikesan.
  • SPRM sedang memperkukuh keupayaan pegawai dan anggotanya dengan latihan khusus dalam penyiasatan mata wang kripto serta menaik taraf makmal forensik digital di bawah RMK13.
  • SPRM juga sedang menubuhkan satu pertubuhan berdaftar untuk menghimpunkan pakar forensik digital di Malaysia dan memanfaatkan sepenuhnya kemahiran pasukan pemeriksa poligraf yang sedia ada.


Jenayah rasuah kini berevolusi daripada kaedah tradisional yang menyaksikan wang ringgit bertukar tangan dengan ketara, kepada modus operandi yang lebih mencabar, termasuk penggunaan teknologi digital dan mata wang kripto seperti Bitcoin dan Ethereum untuk menutup jejak kewangan.

Sehubungan itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memperkukuh keupayaan pegawai dan anggotanya khusus bagi menangani kes-kes rasuah yang semakin kompleks, seiring dengan perkembangan teknologi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika ditemui Bernama baru-baru ini berkata suruhanjaya itu akan membangunkan kepakaran dalaman sebagai langkah memperkasa aspek penyiasatan melibatkan mata wang kripto.

Beliau berkata beberapa pegawai SPRM telah dihantar menghadiri latihan khusus dalam penyiasatan mata wang kripto selain menjalinkan kerjasama erat melalui Kumpulan Kerja Forensik Digital (KKFD) dan Polis Antarabangsa (INTERPOL).

"Namun sebagai langkah ke hadapan, SPRM akan membangunkan kepakaran dalaman, dan sedang mengenal pasti latihan bertauliah untuk disertai. Aspek lain dalam pembangunan kapasiti dan keupayaan ini adalah mengenai perolehan teknologi dan peralatan yang sesuai.

"Dengan latihan, peralatan yang sesuai dan kerjasama erat dengan pihak luar, cabaran siasatan berkaitan mata wang kripto dapat ditangani dengan lebih berkesan," katanya.

Sementara itu Azam berkata SPRM sedang menaik taraf makmal forensik digital di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk penambahbaikan empat makmal utama, iaitu Makmal Forensik Telefon Bimbit, Makmal Forensik Komputer, Makmal Forensik Audio dan Video serta Makmal Forensik Dokumen.

Beliau berkata SPRM yang kini menerajui KKFD sebagai Pengerusi sehingga 2026, sedang berusaha menubuhkan satu pertubuhan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Pertubuhan ini bakal menjadi platform utama untuk menghimpunkan pakar forensik digital di Malaysia.

"Kepakaran dalam KKFD akan digembleng antaranya untuk menyediakan prosedur berkaitan pengesanan dan pengendalian mata wang kripto dalam siasatan.

"Semua usaha ini bertujuan memperkukuh kemampuan SPRM dalam menghadapi cabaran penyiasatan yang semakin kompleks seiring dengan perkembangan teknologi," katanya.

Ditanya mengenai penambahan anggota pasukan pemeriksa poligraf tahun ini, Azam berkata fokus SPRM pada 2025 adalah memanfaatkan sepenuhnya kemahiran pasukan sedia ada.

"Pasukan ini terlatih dalam aspek menemu bual saksi dan suspek untuk membangunkan serta mengesahkan maklumat. Justeru, adalah wajar peranan mereka dimanfaatkan dengan lebih optimum," katanya sambil menambah SPRM kini mempunyai 16 pemeriksa Poligraf yang mahir dan berkelayakan.

-- BERNAMA