PUTRAJAYA: Isu keselamatan kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan akan cuba diselesaikan dengan pemerkasaan dan tindakan bersepadu, termasuk meneliti aspek perundangan.


Ringkasan AI
  • Isu keselamatan kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan akan diselesaikan dengan tindakan bersepadu dan meneliti aspek perundangan.
  • Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menegaskan komitmen untuk menyelesaikan isu muatan berlebihan yang telah berlanjutan berpuluh tahun.
  • Tindakan bersepadu diperlukan, termasuk melihat semula perundangan dan ekosistem logistik, serta kerjasama daripada pihak pelabuhan.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan, tidak pernah ada mana-mana menteri yang benar-benar komited menyelesaikan isu berkenaan.

“Jadi, tahun ini memang fokus kita mahu betul-betul tangani isu terlebih muatan ini, ia telah berlanjutan berpuluh tahun.

“Tidak pernah ada satu masa atau pun mana-mana satu menteri sebelum ini yang bersungguh-sungguh atau berjaya menyelesaikan isu terlebih muatan ini, dan saya mahu nyatakan hasrat serta tekad untuk kita menyelesaikan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT), di sini, pada Isnin.

Loke menambah, walaupun banyak tindakan penguatkuasaan dibuat sebelum ini terhadap kenderaan berat, isu ini tidak akan mencapai jalan penyelesaian jika tindakan secara bersepadu tidak dilaksanakan.

“Isu ini memerlukan banyak tindakan bersepadu dan melihat semula kepada perundangan, ekosistem logistik termasuk kerjasama daripada pihak pelabuhan dan sebagainya,” ujarnya.