Noor Haimi Ayhari, 49, dan warga Singapura Nur Anne Mohd Hussin, 38, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.
Kedua-dua mereka yang tidak bekerja itu didakwa mengedar 62 gram methaphetamine dan 39.40 gram kanabis di sebuah pangsapuri di Laman Glasier Country Garden, Jalan Persiaran Aliff Harmoni Utama, Taman Damansara Aliff di sini kira-kira 4.15 pagi pada 31 Dis lepas.
Di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin pula, mereka didakwa mengedar 510 gram ganja di sebuah rumah pangsapuri di Jalan Larkin Perdana, kira-kira 6.20 pagi, tarikh yang sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika tidak dihukum mati.
Sementara itu, di hadapan Majistret R Salini, Noor Haimi dan Nur Anne mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memiliki 3.8 gram heroin, 4.1 gram serbuk ekstasi dan 14 gram bahan psikotropik jenis Nitrazepam.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di pangsapuri sama di Taman Damansara Aliff, kira-kira 4.15 pagi 31 Disember lepas.
Pertuduhan memiliki heroin dan serbuk ekstasi di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan memiliki nitrazepam, mereka didakwa di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Noor Haimi dan Nur Anne secara berasingan turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Salini dan Shaarmini atas tuduhan memasukkan ke dalam badan mereka methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, pada 10.13 pagi, 31 Disember.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.
Nur Anne turut mengaku tidak bersalah di hadapan Shaarmini atas satu lagi pertuduhan menghalang penjawat awam iaitu anggota polis di tepi jalan Taman Damansara Alif pada tarikh sama kira-kira 1 pagi.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Tarikh sebutan semula bagi kes memiliki dadah ditetapkan pada 23 Feb depan manakala untuk kes mengedar dadah pada 10 Mac depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman, Nur Afiqah Musa dan Siti Aishah Latiff. Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam dan tidak dibenarkan jaminan kerana pertuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA