"When people have power, they want money.
Pernyataan manakah yang betul?
Sebenarnya tiada jawapan yang betul ataupun tiada jawapan yang salah.
Kebarangkalian untuk kedua-dua pernyataan itu salah adalah tinggi dan kebarangkalian untuk kedua-dua pernyataan itu betul juga tinggi nisbahnya.
Kuasa ialah sesuatu yang didambakan oleh ramai manusia kerana dengan kuasa seseorang itu akan menjadi hebat, kuat, kebal dan masyhur.
Wang pula membolehkan seseorang itu memiliki apa yang diinginkan, merealisasikan apa yang diimpikan, dan juga mengangkat taraf kehidupan atau status sosial seseorang itu ke peringkat lebih tinggi.
Ada manusia yang berusaha sedaya upaya untuk memiliki kuasa. Ada manusia yang bersungguh-sungguh membanting keringat untuk memiliki wang dan harta.
Ada manusia ingin berkuasa kerana ingin mencari harta, dan ada manusia mencari harta kerana ingin berkuasa.
Namun ramai di antara kita pastinya pernah terfikir kenapa seseorang itu ingin berkuasa dan ingin terus berkuasa?
Ada kuasa yang diwarisi melalui takhta keturunan, ada kuasa yang dimiliki melalui proses demokrasi, ada kuasa yang dimiliki melalui kekuatan fizikal, dan ada juga kuasa yang dimiliki melalui populariti.
Namun apakah sebenarnya yang dicari dengan memiliki kuasa? Apakah sebenarnya kepuasan yang dicapai apabila berada ditampuk kuasa?
Apakah sebenarnya kuasa yang membuatkan kita rasa berkuasa? Apakah sebenarnya yang ditakuti apabila berlaku pengurangan kuasa atau penurunan kuasa?
Keinginan untuk berasa berkuasa ini berlaku kepada sesiapa sahaja.
Seorang majikan ingin rasa berkuasa ke atas pembantu rumahnya; seorang abang ingin rasa berkuasa ke atas adiknya; seorang pengetua ingin rasa berkuasa ke atas guru-guru di bawah seliaannya; dan seorang pemimpin ingin rasa berkuasa ke atas rakyatnya.
Berbanding authority yang dimiliki atas dasar jawatan dan pangkat, kuasa pula lazimnya perlu dicari dan ada kalanya membuatkan seseorang itu merasa 'syok sendiri' terutama apabila tiada yang mencabar.
Berbalik kepada persoalan mengapa seseorang itu ingin berkuasa dan merebut kuasa. Mengapa sanggup bergaduh, bermusuh, mengaibkan, menipu dan ada yang sanggup membunuh demi kuasa?
Apakah sebenarnya yang dicari apabila sudah berkuasa? Mengapa ada manusia yang tetap ingin berkuasa walau sudah tidak berdaya?
Mengapa ada manusia yang masih ingin berkuasa walau sudah tidak relevan dan tidak diperlukan?
Mengapa ada manusia yang sentiasa mengintai peluang untuk menjadi berkuasa, dan mengapa ada manusia yang sanggup berdolak dalik untuk kelihatan berkuasa?
Ada kalanya perlu ada senarai semak untuk diri sendiri. Sekiranya aku berkuasa, adakah ia berupaya membuatkan lebih ramai orang bahagia?
Adakah gaya kepimpinan aku sudah old-fashioned dan perlu some rejuvenation?
Adakah kuasa yang ada padaku semakin berkurang ekoran isu-isu yang tidak dapat aku selesaikan sebagai seseorang yang berkuasa?
Adakah aku telah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi dan keluargaku? Adakah aku telah menekan dan menyeksa manusia di bawah kekuasaanku?
Adakah dengan kuasa ini membuatkan aku jadi manusia alpa kepada Yang Maha Berkuasa?
Memiliki kuasa bukanlah semudah membeli atau memiliki kereta. Ia datang bersekali dengan amanah, tanggungjawab dan juga belas ihsan.
Jika perkara semudah menjaga sebuah kereta juga memerlukan ia dihantar servis berkala mengikut penggunaan jarak kilometer -- perlu ditukar minyak pelincir dan perlu dipam tayar bagi memastikan keadaan kereta sentiasa cemerlang dan tiada kerosakan supaya pemanduan selamat dan tidak bermasalah -- inikan pula jika analogi ini dikaitkan dengan hal pemilikan kuasa.
Memiliki kenderaan juga memerlukan pemiliknya memperbaharui cukai jalan dan insurans setiap tahun, jika tidak bersedialah untuk dikenakan saman.
Sekiranya kereta itu sudah terlalu lama, ada kalanya enjin pula perlu ditukar dan walau sebaik mana sebuah kereta itu dijaga, karat pasti akan muncul jua.
Begitulah juga dengan kuasa. Ada masanya ia perlu dihantar servis untuk menyemak dan mengimbangi performance.
Ada masanya perlu ditukar minyak bagi memastikan kelancaran pemanduan, dan ada kalanya perlu ditukar enjin kerana sudah terlalu lama usianya.
Namun ada kalanya kos menukar enjin lebih mahal harganya berbanding kos membeli kereta baharu.
Selain itu kereta juga mengalami susut nilai yang tinggi.
Walau bagaimanapun tidak semua manusia sukakan vintage car kerana ia memerlukan belanja yang besar dan perlu masa yang lebih untuk dijaga, dibelai dan ditukar ganti spare part yang tidak berfungsi lagi.
Dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan dan lebih banyak masa diperlukan untuk aktiviti menyihatkan minda dan fizikal, berkemungkinan peminat vintage car semakin berkurangan dari hari ke hari.
Ada yang sukakan kereta model baharu supaya dapat kelihatan lebih moden, bergaya dan mempunyai teknologi yang lebih sophisticated dan terkini.
Tidak kurang juga ada yang tidak menyukai kereta yang mempunyai sejarah silam seperti kemalangan, kecurian dan sebagainya.
Oleh yang demikian, sekiranya kita sedang berkuasa, laksanakanlah amanah dan tanggungjawab sebaiknya kerana kelak kita akan disoal.
Sekiranya kita rasa ini adalah yang terbaik, maka teruskanlah dan jangan menoleh lagi.
Sekiranya kita rasa sudah tidak mampu untuk berkuasa, maka berehatlah.
Sekiranya rehat itu dapat membuatkan lebih ramai orang bahagia dan tidak sengsara, maka berkorbanlah demi kesejahteraan semua.
Apapun ia berbalik kepada niat. Manakala hal niat seseorang itu tidaklah dapat kita sahkan atau persoalkan kerana ia urusan di antara dia dan Penciptanya.
* Penulis merupakan seorang pegawai Perkhidmatan Tadbir & Diplomatik yang berkhidmat di salah sebuah agensi pusat di Putrajaya.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI