KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima jaminan daripada syarikat pengeluar bahawa bekalan ubat dijangka mula meningkat apabila negara mengimport lebih banyak bahan farmaseutikal aktif (API) bermula bulan depan.

Dalam tempoh tersebut, menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian akan mendahulukan stok penimbal kerajaan Persekutuan bagi menampung masalah kekurangan ubat-ubatan terutama di fasiliti kesihatan swasta sementara menunggu bekalan ubat-ubatan dipertingkat.

"Saya telah terima jaminan daripada pengeluar ubat-ubatan bahawa stok ini akan mula meningkat apabila kita dapat import API pada bulan depan.

"Jadi dalam masa kita menunggu bekalan ini ditingkat lagi, kita akan gunakan stok penimbal kerajaan supaya bekalan ubatan yang agak kurang ini dapat ditampung," katanya pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Khairy (BN-Rembau) menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah bekalan ubat-ubatan yang sedang berlaku ketika ini.

Mengulas lanjut, Khairy percaya permintaan yang tinggi terhadap bekalan ubat disebabkan kenaikan kes influenza ketika ini.

Beliau menambah, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) akan turut mengadakan mesyuarat dengan Bahagian Farmasi KKM dan syarikat Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) bagi mendapatkan maklumat mengenai jenis bekalan ubat diperlukan oleh fasiliti kesihatan swasta.

"Selepas kita menerima senarai daripada APHM dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), kita dapat lepaskan sebahagian stok penimbal untuk pembelian daripada sektor swasta," katanya lagi.