KUALA LUMPUR: Berdasarkan situasi semasa, Israel dan Benjamin Netanyahu kini hanya mencari dan menambah musuh, bukan mahu mencari jalan perdamaian.

Pensyarah Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia, Abdel Rahman Ibrahim berkata, ia terbukti apabila serangan Iran ke atas Israel bukan lagi menggunakan proksi, sebaliknya bertindak sendiri, malah menggunakan senjata paling canggih, buat kali pertama.

“Perkembangan baru-baru ini kita nampak Iran sekarang ini tidak lawan mengikut proksi atau Hezbollah, Syria atau Yaman. Mereka sendiri lawan, dengan jenis senjata canggih seperti baru-baru ini, 300 roket merentas kelajuan suara atau hipersonik kali pertama dicuba Iran,” katanya.

Jelasnya, tindakan Netanyahu menolak penyelesaian gencatan senjata sebelum ini dilihat memalukan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan berniat mahu memalukan Iran juga.

Namun Iran dengan latar belakang bangsa, budaya dan mazhab berbeza daripada negara rantau Asia Barat lain, tidak semudah itu untuk dibuli.

Beliau berkata demikian ketika muncul dalam program Dialog Tiga Penjuru, pada Khamis.

Dialog Tiga Penjuru: Perang Asia Barat, ‘endgame’ Zionis?


Bagi Pensyarah Pengajian Sejarah, Queen Mary University of London, Rowena Abdul Razak, agak sukar untuk mencari alternatif kepada jalan damai kerana untuk melakukannya, perkara pertama yang harus dipastikan adalah keselamatan Israel.

Justeru, katanya, alternatif seperti menjadikan mana-mana negara lain di Asia Barat sebagai sekutu kuat AS tidak berkesan kerana ia membawa kepada pengabaian terhadap Palestin, sekali gus membuatkan alternatif itu ditolak Hamas, Hezbollah dan Iran.

“Alternatif untuk Israel dan untuk Amerika Syarikat adalah untuk Israel berasa selamat. Dan itulah sebabnya banyak negara Arab cuba memperbaiki hubungan dengan Israel. Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, sudahpun memperbaiki hubungan dengan Israel, memperbaiki hubungan diplomatik.

“Ini adalah alternatif yang mereka ingin kemukakan. Tetapi dengan berbuat demikian, ini bermakna Palestin telah diabaikan. Dan ini adalah masalah besar,”jelasnya.

Sementara itu, menurut Pakar Undang-Undang Antarabangsa Kuliah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Mohd Yazid Zul Kepli, jawapan kepada persoalan mengapa usaha mencapai gencatan senjata dan keamanan masih sangat sukar biarpun perang sudah lama berlanjutan, ialah kerana Israel tidak pernah mahukan keamanan.

“Kalau Israel mahukan keamanan, perang sudah lama tamat. Mereka tak kacau Masjid al Aqsa, mereka tak kacau kawasan orang Islam, tak kacau lapangan terbang, sesekali buat aktiviti budaya bersama dan jadi aman.

“Contoh macam Malaysia, kita ada macam-macam kaum, antara negara yang paling banyak kaum di dunia tapi kita aman damai, hubungan antara kaum rapat sedangkan agama berbeza, kita tidak berbunuhan seperti di Israel

“Secara ringkasnya, mereka memang tak mahu penyelesaian secara aman,” katanya.