PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi dilaporkan menurun kepada 1,765 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 35 iaitu bagi tempoh 25 hingga 31 Ogos berbanding 1,980 kes pada minggu sebelumnya dengan empat kematian dilaporkan akibat komplikasi.


Ringkasan AI
  • Jumlah kes demam denggi menurun kepada 1,765 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 35 berbanding 1,980 kes pada minggu sebelumnya, dengan empat kematian dilaporkan akibat komplikasi.
  • Sehingga ME 35, terdapat 96,572 kes demam denggi dan 88 kematian akibat komplikasi dilaporkan, berbanding 80,201 kes dan 57 kematian pada tempoh yang sama tahun 2023.
  • Bilangan lokaliti 'hotspot' dilaporkan pada ME 35 sebanyak 64 berbanding 85 pada minggu sebelumnya.


Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME 35 sebanyak 96,572 kes berbanding 80,201 kes bagi tempoh sama 2023.

"Terdapat 88 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 57 kematian bagi tempoh sama pada 2023," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bilangan lokaliti 'hotspot' yang dilaporkan pada ME 35 sebanyak 64 lokaliti berbanding 85 pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata daripada 64 lokaliti yang dilaporkan, 45 di Selangor, tujuh di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga masing-masing di Negeri Sembilan, Kelantan dan Perak manakala satu lokaliti masing-masing di Kedah, Sabah dan Sarawak.

Dr Muhammad Radzi berkata bagi survelan chikungunya, terdapat dua kes direkodkan pada ME 35 dan tiada wabak Chikungunya dilaporkan pada minggu itu.

Jumlah kumulatif kes Chikungunya sehingga kini ialah 70 kes.

Bagi survelan zika, Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak 1,834 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cairan serebrospinal telah dijalankan saringan Zika dan keputusannya negatif.

Beliau berkata risiko penyebaran demam denggi akan meningkat terutama semasa cuti sekolah dan cuti umum disebabkan pergerakan orang ramai.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan mengingatkan masyarakat termasuk pihak sekolah dan kontraktor agar sentiasa memastikan tiada bekas yang boleh menakung air di persekitaran premis yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes sebelum cuti penggal kedua persekolahan.

-- BERNAMA