Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kematian akibat komplikasi demam denggi juga meningkat kepada dua kematian berbanding satu kematian pada minggu sebelumnya.
"Secara kumulatif, jumlah kes demam denggi hingga kini adalah sebanyak 112,833 kes dengan 104 kematian, berbanding 103,371 kes dan 80 kematian untuk tempoh sama tahun 2023," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Muhammad Radzi berkata terdapat 39 lokaliti hotspot aktif dilaporkan pada ME45 berbanding 27 lokaliti pada minggu sebelumnya.
Sementara itu susulan peningkatan kes kematian akibat denggi, Dr Muhammad Radzi menyarankan masyarakat untuk segera mendapatkan rawatan awal di mana-mana fasiliti kesihatan sekiranya mengalami gejala demam denggi.
Menurutnya, gejala yang perlu diperhatikan adalah demam secara tiba-tiba, sakit otot atau sendi, sakit kepala dan sakit di belakang mata manakala tanda amaran kompilasi termasuk muntah berterusan, sakit perut, keletihan melampau, pendarahan hidung, muntah berdarah serta kesukaran bernafas.
"Kelewatan mendapatkan rawatan awal boleh meningkatkan risiko kematian. KKM berharap dengan komitmen semua pihak, kes kematian denggi akan dapat dikurangkan. Tiada Aedes, tiada denggi," katanya.
-- BERNAMA