GEORGE TOWN: Persidangan Saintifik Kesihatan Sempadan Malaysia-Thailand ke-34 yang diadakan di sini hari ini menjadi platform penting buat kedua-dua negara untuk berbincang mengenai pelbagai isu berkaitan kesihatan rentas sempadan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata ia juga bagi membolehkan pihak-pihak terlibat di Malaysia dan Thailand untuk merancang kerjasama boleh dilakukan ke arah mewujudkan persekitaran kesihatan baik yang menjadi asas kepada kemakmuran setiap aspek kehidupan.

"Objektif utama mesyuarat ini adalah untuk meningkat dan mengeratkan kolaborasi antara Malaysia dan Thailand, terutama di sempadan negara dengan memperkukuhkan perkongsian sumber bagi memastikan pengurusan isu kesihatan sempadan yang lebih selamat dan berkesan.

"Melalui kerjasama dan usaha ini, diharapkan ia dapat meningkatkan kualiti kesihatan dan keselamatan di sempadan serta memberi manfaat bersama bagi kedua-dua negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan itu di sini hari ini.

Turut hadir Penyelia Kesihatan Wilayah 12, Kementerian Kesihatan Awam Thailand Dr. Sombat Phadungvitvatthana.

Bertemakan 'Merapatkan Sempadan untuk Komuniti Lebih Sihat', Lukanisman berkata antara isu yang akan dibincangkan pada mesyuarat kali ini adalah meningkatkan kerjasama kesihatan rentas sempadan, pemantauan dan kawalan penyakit serta akses kepada penjagaan kesihatan dan pemindahan pesakit selain pertukaran maklumat dan amalan terbaik serta menangani cabaran kesihatan awam.

Mesyuarat tahunan itu menghimpunkan seramai 240 delegasi Malaysia yang terdiri daripada pegawai kesihatan dari Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan, manakala Thailand pula dihadiri pegawai dari Songkhla, Yala, Satun dan Narathiwat.

-- BERNAMA